Exco Perlis kini di wad biasa selepas sebulan di ICU

Exco Perlis kini di wad biasa selepas sebulan di ICU

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata keadaan Wan Badariah Wan Saad kini semakin baik dan memerlukan rehat.

Adun Mata Ayer dari PAS Wan Badariah Wan Saad ditidurkan ketika dirawat di ICU Hospital Tuanku Fauziah pada 14 Mei lalu akibat komplikasi jantung dan paru-paru. (Gambar Facebook)
KANGAR:
Keadaan Exco Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis Wan Badariah Wan Saad kini semakin bertambah baik, dan ditempatkan di wad biasa selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) sejak 14 Mei lalu.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata Adun Mata Ayer dari PAS itu, diberikan rehat dalam tempoh tertentu selepas dibenarkan keluar dari hospital nanti, sebelum kembali bertugas.

“Kena berehat dulu…tidak ada gangguan (pada Tahun Melawat Perlis 2024-2025) sebab Wan Zikri (Afthar Ishak, Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis) ambil alih, sebab nak bagi peluang Wan Badariah ini rehat dan pegawai kerajaan turun melaksanakan apa yang kita rancang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18, yang cedera parah selepas motosikal dinaiki bersama suaminya dihempap pokok tumbang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat dekat sini awal pagi semalam.

Bernama semalam melaporkan akibat kejadian yang berlaku kira-kira 3 pagi itu, Nuraleya Syazreena, mengalami pendarahan dalam kepala serta patah tulang pinggang kiri dan kanan, manakala bayi dalam kandungannya berusia lima bulan meninggal dunia, sementara suaminya patah tulang paha kanan.

Ditanya sama ada jawatan exco itu akan disandang Adun lain, Shukri berkata pihaknya perlu melihat perkembangan keadaan dan kemampuan Adun Mata Ayer itu dari semasa ke semasa terlebih dahulu dan tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa.

Shukri berkata portfolio Wan Badariah, 47, pada masa ini dipangku Wan Zikri dan Exco Kesihatan Perlis Megat Hashirat Hassan.

Pada 15 Mei, Bernama melaporkan Wan Badariah mendapatkan rawatan dan ditidurkan pada petang 14 Mei dan menteri besar Perlis dilaporkan sebagai berkata beliau ditidurkan selepas mengalami komplikasi jantung dan paru-paru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.