
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Muhammad Abdullah berkata mesyuarat bersama pegawai daerah membuat keputusan itu susulan laporan ada individu mengalami simptom kencing tikus selepas berkunjung ke taman itu.
Beliau berharap penduduk setempat tidak menceroboh kawasan itu selepas notis penutupan dikeluarkan dan tali amaran dipasang.
“Ada kes individu bergejala dijangkiti kencing tikus. Sekarang Pejabat Kesihatan Padang Terap sedang melakukan pemantauan dan siasatan, kita tunggu pengesahan daripada mereka dahulu.
“Kita sudah tutup buat sementara bagi mengelakkan pengunjung berkunjung sehingga keadaan kembali selamat,” katanya menurut Berita Harian.
Facebook Jabatan Kesihatan Kedah turut berkongsi notis penutupan taman itu sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Media sebelum ini melaporkan dua pengunjung dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di Kedah kerana disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus selepas berkunjung ke Taman Eko Rimba Lata Bayu di Baling.