SKMM siasat wanita letak gambar budak dengan kapsyen jelik di FB

SKMM siasat wanita letak gambar budak dengan kapsyen jelik di FB

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkata wanita itu disiasat selepas menerima aduan mengenai gambar itu yang dimuat naik di Facebook.

Pegawai SKMM merakam keterangan seorang wanita yang disyaki memuat naik gambar kanak-kanak beserta kapsyen bersifat jelik di Facebook. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis menyiasat seorang wanita kerana disyaki memuat naik gambar seorang kanak-kanak berserta kapsyen bersifat jelik di Facebook.

SKMM dalam satu kenyataan berkata wanita berkenaan hadir ke IPD Petaling Jaya pada Jumaat lalu untuk dirakam keterangan susulan aduan yang diterima berkaitan hantaran yang dibuat oleh pengguna media sosial itu.

“SKMM menyerahkan notis kehadiran kepada suspek selepas menerima laporan mengenai satu pemilik akaun Facebook yang memuat naik naik gambar seorang kanak-kanak berserta kapsyen bersifat jelik.

“Satu unit telefon bimbit serta kad sim dipercayai milik suspek yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali dan denda lanjutan RM1,000 setiap hari kesalahan diteruskan, jika sabit kesalahan.

Seksyen tersebut melarang penghantaran komunikasi melalui kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang, dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

“SKMM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan terutamanya kandungan yang melibatkan kanak-kanak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.