
Mohd Fared Ramli, 36, pemilik perniagaan Wau Beremas Enterprise, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Sultan Omar, Kampung Chepa, Kubang Kerian pada 12.30 tengah hari 18 Dis 2022.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-58, tertuduh yang juga pemegang lesen borong diesel didakwa gagal mengemukakan dokumen dan maklumat yang dikehendaki oleh Penolong Pengawal Bekalan mengikut Seksyen 8(1)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Bagi pertuduhan ke-59 hingga ke-116, Fared didakwa gagal menyelenggara buku stok diesel yang tidak mengandungi maklumat mengenai tarikh, harga, nama dan alamat penjual atau pembeli bagi penjualan bahan bakar itu untuk tujuan eksport.
Dia didakwa mengikut Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 Akta yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM1 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohd Sophian Zakaria dan Suhana Mohd manakala tertuduh diwakili oleh peguam Sukri Mohamed.
Terdahulu,Sophian menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin kepada Fared bagi semua kesalahan.
Beliau turut memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh melapor diri ke ibu pejabat KPDN Putrajaya setiap bulan dan menyerahkan pasportnya atas alasan kes ini melibatkan kepentingan awam.
Sukri pula memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya tiada masalah dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan.
Hakim Zulkifli Abllah kemudian membenarkan Fared diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan seperti dimohon oleh pendakwaan dan menetapkan 23 Julai ini untuk sebutan semula kes.