Pembenihan awan tumpu 7 lokaliti di Kelantan

Pembenihan awan tumpu 7 lokaliti di Kelantan

Operasi pembenihan awan yang masuk hari ketiga itu bagi mengatasi masalah penyusutan air Sungai Kelantan dan kemarau berpanjangan di Kelantan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata operasi pembenihan awan menumpukan kawasan sekitar Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Dabong, Kemubu dan Manek Urai. (Gambar Bernama)
SUBANG JAYA:
Operasi pembenihan awan (OPA) di Kelantan memberi tumpuan kepada tujuh lokaliti strategik di sekitar negeri itu, dalam usaha mengatasi masalah penyusutan air Sungai Kelantan dan kemarau berpanjangan yang dihadapi pesawah.

Tujuh lokaliti tumpuan itu meliputi kawasan sekitar Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Dabong, Kemubu dan Manek Urai.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata pelaksanaan operasi itu, bertujuan meningkatkan paras air semasa Sungai Kelantan yang menjadi sumber utama pengairan kawasan penanaman padi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

“Operasi ini dijangka dapat menambah baik sistem pengairan di kawasan Kemubu yang mengalami kemarau panjang. Ia secara langsung memberi manfaat kepada hampir 3,400 pesawah yang mengusahakan aktiviti penanaman padi di kawasan ini.

“OPA ini merupakan tindakan interim daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), bagi menangani isu kekurangan bekalan air untuk penanaman padi. Sebelum ini, pelbagai inisiatif diberi kepada pesawah meliputi bantuan pam mudah alih, pam penggalak, pembinaan telaga tiub dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media OPA di Kelantan, sebelum menyertai operasi itu dengan menaiki pesawat pengangkut Tentera Udara C-130H di Pangkalan Udara Subang.

Mengenai perkembangan terkini OPA, Mohamad berkata operasi pada hari pertama Jumaat lalu berjaya menghasilkan hujan di zon selatan Kelantan, namun pada hari kedua (semalam), operasi itu didapati kurang berkesan kerana tiada pembentukan awan di negeri terbabit.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Mohd Hisham Mohd Anip berkata pembentukan awan kumulus menjulang atau awan kumulonimbus diperlukan bagi proses pembenihan awan, untuk menghasilkan hujan yang lebat di sesuatu kawasan.

“Apabila awan itu mula terbentuk dan kita buat pembenihan (sembur campuran air garam), insya-Allah ia akan turunkan hujan dengan banyak di kawasan terbabit… Biasanya kita akan sediakan empat tong, setiap tong kita sediakan 200kg garam dan 1,500 liter air, maka jika empat tong sejumlah 6,000 liter air garam yang kita bancuh untuk OPA ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata negara akan berdepan kekurangan kira-kira 4% daripada keseluruhan jumlah pengeluaran beras, jika proses penanaman padi di sekitar Kelantan terus terjejas susulan musim kemarau yang berpanjangan.

Menjawab pertanyaan mengenai tindakan susulan sekiranya OPA yang dijalankan selama tiga hari kurang berhasil, Mohamad berkata KPKM akan mengambil tindakan jangka masa pendek bagi mengatasi masalah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.