
Mahathir berkata, sebahagian besar orang Melayu bersatu bawah Umno ketika beliau berkuasa selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.
Katanya, Umno mendapat kepercayaan tinggi orang Melayu sepanjang pemerintahannya membawa kepada Barisan Nasional (BN) menikmati sokongan dua pertiga dalam lima PRU.
Menurutnya, kemerosotan bermula apabila penggantinya Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampuk pemerintahan.
“Pada 2008, ketika beliau (Abdullah) bertanding pilihan raya, beliau kalah lima negeri. Itulah permulaan perpecahan dalam Umno. Umno menjadi sangat lemah dan rakyat tidak lagi menyokong Umno,” katanya dalam wawancara ekslusif bersama FMT.
Beliau berkata, walaupun BN mendapat mandat besar pada PRU 2004, perpaduan Melayu mula runtuh bawah kepimpinan Abdullah.
Abdullah memimpin BN dalam kemenangan bersejarah pada 2004, menang 198 daripada 219 kerusi Parlimen. Namun, pada PRU 2008 BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat selain penguasaan Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak.
Mahathir berkata, pentadbiran Abdullah dicemari masalah dalaman dan dakwaan pilih kasih, menjurus kekalahan besar pada 2008.
“Pada mulanya rakyat fikir beliau adalah pemimpin terbaik, dan mereka memberi sokongan penuh. Tetapi, antara 2004 hingga 2008, didapati beliau tidak berkemampuan,” katanya.
Abdullah meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2009, dan timbalannya Najib Razak mengambil alih.
Mahathir berkata, perpecahan orang Melayu lebih buruk bawah Najib susulan pembabitannya dalam skandal kewangan, terutama berkaitan 1MDB, yang menjejaskan kredibiliti dan sokongan terhadap Umno.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah kerana salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah melibatkan RM42 juta dana anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Beliau juga sedang berdepan perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang RM2.28 bilion, didakwa daripada dana 1MDB, didepositkan dalam akaun bank peribadi miliknya ketika menjadi perdana menteri.
Skandal 1MDB mencetuskan kemarahan meluas dan menjadi faktor signifikan kekalahan BN pada PRU 2018, di mana gabungan itu tewas kepada Pakatan Harapan (PH), menjadikan kali pertama dalam sejarah berlaku perubahan kerajaan pusat.
Mahathir juga kecewa perpecahan kuasa politik Melayu melemahkan keupayaan mereka menang majoriti pada PRU.
“Pada satu masa, orang Melayu bersatu dalam Umno. Semua orang Melayu berada dalam Umno, termasuk orang agama, berpendidikan Inggeris, berpendidikan Melayu – semua dalam Umno,” katanya.
“Tetapi, mereka meninggalkan Umno apabila dibentuk parti politik (berbeza). (Jadi), orang Melayu berpecah kepada empat atau lima parti politik.”
Umno, diasaskan pada 1946, menerajui Perikatan dan kemudian BN mendominasi politik Malaysia selama enam dekad sebelum hilang kuasa pada 2018.
Pertelingkahan dalaman membawa kepada penubuhan parti serpihan, seperti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah pada lewat 1980-an. Kemudian diikuti PKR yang ditubuhkan susulan pertembungan Mahathir dengan timbalannya Anwar Ibrahim pada 1998, diikuti Bersatu, ditubuhkan Mahathir pada 2016 selepas keluar Umno.
Percanggahan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyaksikan Mahathir menubuhkan satu lagi parti Melayu, Pejuang pada 2020.