
Mangsa, seorang penjawat awam berusia 51 tahun, membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam, kata Ketua Polis Setiu Mohd Zain Mat Dris.
Menurutnya, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki menggunakan profil bernama ‘Azli bin Ahmad’ di Facebook sebelum berhubung menerusi WhatsApp.
“Pada awal Jun, (mangsa) menerima mesej di Messenger daripada satu profil lelaki bernama Azli bin Ahmad, yang menggunakan gambar seorang juruterbang. Mereka kemudian berhubung di WhatsApp untuk berkenalan dengan lebih rapat.
“Suspek kemudiannya menawarkan penghantaran berupa bungkusan hadiah kepada mangsa seperti beg tangan, jam tangan, kasut dan duit bernilai USD10,000, untuk disedekahkan kepada anak yatim, (selain) sebagai tanda persahabatan,” katanya, lapor Bernama.
Pada 14 Jun, mangsa dihubungi seorang individu mendakwa sebagai ejen penghantaran yang menyatakan terdapat masalah berkait bungkusan yang dihantar kepadanya.
Mangsa kemudian diminta membayar duti import dan kos penghantaran untuk melepaskan bungkusan tersebut.
“Bermula 14 Jun lepas hingga semalam, mangsa membuat 23 transaksi ke akaun berlainan berjumlah RM148,200,” kata Mohd Zain.
“Mangsa juga diugut untuk membuat bayaran selepas dikatakan terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah lain dan akan diambil tindakan sekiranya tidak membuat bayaran.”
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan
Mohd Zain berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti untuk tujuan pendakwaan, selain giat mengesan dan menjalankan usaha menangkap suspek.