Bawa universiti asing ke Sabah sebahagian rancangan PCS, kata Anifah

Bawa universiti asing ke Sabah sebahagian rancangan PCS, kata Anifah

Negeri itu hanya boleh mencapai kemajuan dalam pendidikan jika haknya dipenuhi, kata presiden PCS itu.

anifah
Anifah Aman berkata, PCS komited memperjuangkan hak Sabah, khususnya pelaksanaan penuh MA63 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Cinta Sabah (PCS), yang baru-baru ini menjadi anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berhasrat membawa universiti asing ke negeri itu bagi menyediakan peluang pendidikan berkualiti bagi golongan belia, kata presidennya, Anifah Aman.

Beliau berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada perjuangan parti itu untuk hak Sabah.

Dalam kenyataan dikeluarkan PCS sempena perhimpunan agungnya, Anifah berkata, parti itu komited memperjuangkan hak rakyat Sabah serta kestabilan politik negeri.

Terdahulu, ketika berucap kepada perwakilan parti, Anifah menggariskan kepentingan kemajuan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan prasarana, menekankan bahawa matlamat ini hanya boleh dicapai jika hak Sabah menurut Perlembagaan Persekutuan dipenuhi.

“PCS komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan memperjuangkan hak Sabah, khususnya pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Anifah, yang juga pengerusi Invest Sabah Bhd, memuji kerajaan negeri atas programnya melatih dan mengambil belia miskin tegar bekerja, usaha bertujuan membasmi kemiskinan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Beliau mengulangi keperluan untuk Sabah menerima 40% daripada hasil persekutuan dikutip di negeri itu, yang akan menggiatkan projek pembangunan tempatan dengan ketara.

Dilaporkan bulan lepas bahawa PCS diterima secara rasmi sebagai anggota GRS, menjadikannya parti komponen kelapan dalam gabungan pemerintah itu.

Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata, parti komponen lain sebulat suara bersetuju menerima permohonan PCS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.