PTPTN lancar kempen julung kali struktur semula pinjaman

PTPTN lancar kempen julung kali struktur semula pinjaman

Peminjam perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 sahaja untuk penstrukturan semula pinjaman.

ptptn
Kempen penstrukturan semula pinjaman PTPTN bermula 1 Jun lepas hingga 31 Julai terbuka kepada semua peminjam dengan tunggakan sama ada bagi pinjaman konvensional atau ujrah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Buat julung kalinya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan kempen penstrukturan pinjaman dengan kadar serendah RM300 sebagai inisiatif menggalakkan peminjam menyelesaikan bayaran tertunggak.

PTPTN memaklumkan, kempen selama dua bulan bermula 1 Jun lepas hingga 31 Julai itu terbuka kepada semua peminjam yang mempunyai tunggakan sama ada bagi pinjaman konvensional atau ujrah.

“Peminjam perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 sahaja untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik bagi memastikan peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur.

“Dalam tempoh kempen ini, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain seperti pertukaran ujrah, penggabungan pinjaman dan penjadualan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim, kempen penstrukturan pinjaman itu akan dapat membantu mengurangkan tunggakan dan mencapai tunggakan sifar sekali gus memperbaik rekod kredit peminjam.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000; sembang langsung di portal PTPTN <HYPERLINK ‘portal PTPTN’: www.ptptn.gov.my>; platform e-Aduan PTPTN <HYPERLINK ‘e-Aduan PTPTN’: https://eaduan.ptptn.gov.my/>; eksekutif jualan PTPTN atau menerusi saluran media sosial rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.