PKR Sarawak ‘berniat buruk’ ingin bertanding PRN, kata pemimpin PBB

PKR Sarawak ‘berniat buruk’ ingin bertanding PRN, kata pemimpin PBB

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, niat bertanding pada PRN datangnya daripada PKR Sarawak, bukan PKR pusat.

Abdul Karim Rahman Hamzah
Abdul Karim Rahman Hamzah mempersilakan Iswardy Morni mahupun calon lain yang ingin diketengahkan PKR Sarawak bertanding pada PRN kerana pihaknya ‘sentiasa bersedia’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menganggap desakan PKR Sarawak untuk meletakkan calon pada PRN akan datang sebagai berniat jahat.

Bagaimanapun, Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga naib presiden PBB berkata, beliau percaya Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak sependapat dengan kepimpinan PKR Sarawak.

Pengarah Strategik PKR Sarawak Iswardy Morni baru-baru ini berkata, bahagian negeri itu bersedia mencabar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya sekiranya dibenarkan. Beliau juga berkata, GPS bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).

Karim berkata, GPS bersedia untuk menentang PKR, lapor The Borneo Post. Kenyataan Iswardy, katanya, mencerminkan ‘perasaan’ PKR Sarawak terhadap GPS.

“(Berdasarkan kenyataan itu), kita dapat lihat, (niat meletakkan calon) bukan datangnya daripada PKR pusat, tetapi PKR Sarawak.

“Niat buruk mereka jelas, masih ada,” katanya.

Karim mempersilakan Iswardy mahupun calon lain yang ingin diketengahkan bertanding kerana pihaknya ‘sentiasa bersedia’.

Adun Asajaya itu berkata, beliau sebelum ini tertunggu-tunggu Iswardy mencabarnya pada PRN, tetapi Iswardy tidak pernah bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.