Jangan beri pandangan tanpa rujuk al-Quran, sunnah, kata mufti Perlis

Jangan beri pandangan tanpa rujuk al-Quran, sunnah, kata mufti Perlis

Asri Zainul Abidin berkata ajaran Islam berasaskan bukti bukan mengeluarkan kenyataan bercanggah fakta.

Dua mufti Mohd Asri Zainul Abidin dan Asmadi Mohd Naim meminta semua pihak sentiasa membuat rujukan sebelum menyatakan pendapat.
PETALING JAYA:
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan Islam bukan milik peribadi mana-mana individu sehingga mereka boleh memberikan pendapat tanpa merujuk al-Quran dan sunnah.

Ajaran Islam sebenarnya berasaskan bukti dan bukannya bercanggah dengan fakta, katanya mengulas teguran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar kepada penceramah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid, yang didakwa membuat kenyataan mengelirukan berhubung ibadat berpuasa pada hari kedua, ketiga dan keempat Aidiladha.

Sehubungan itu, Asri menasihatkan sesiapa sahaja termasuk agamawan berhati-hati memberi pandangan dan merujuk kepada al-Quran dan sunnah.

“Agama ini bukan milik ustaz, tok guru, mufti, menteri agama atau sesiapa sahaja sehingga boleh kata atau berikan pendapat apa sahaja tanpa merujuk kepada al-Quran dan sunnah.

“Agama ini ‘evidence-based’. Apa-apa sahaja yang kelihatan bodoh, lemah akal, bercanggah dengan fakta mustahil untuk dinamakan ajaran Islam,” katanya kepada FMT.

Khamis lalu, Na’im merasa terkilan isu membabitkan Daniyal atau lebih dikenali ustaz Don masih berlarutan walaupun sebelum ini arahan sudah diberi kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk berbincang dengan selebriti itu.

“Saya terkilan kerana saya sudah bagi arahan kepada pengarah Jakim untuk berbincang dengan ustaz Don sendiri. Saya difahamkan bahawa beliau sudah memohon maaf dan mengakui kesilapan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas permohonan maaf Daniyal berikutan kenyataan mengelirukan berhubung ibadat berpuasa pada hari kedua, ketiga dan keempat Aidiladha.

Sementara itu, Mufti Pahang Asmadi Mohd Naim berkata setiap agamawan perlu membuat rujukan terlebih dahulu jika tidak yakin dengan jawapan ingin diberi.

“Semakan satu benda yang wajib dibuat dari semasa ke semasa.

“Ini untuk pastikan jawapan kita tuntas dan bertepatan dengan ilmu-ilmu Islam dengan al-Quran dan sunnah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.