Isu nasional bantu kempen PN pertahan Sg Bakap, kata Hadi

Isu nasional bantu kempen PN pertahan Sg Bakap, kata Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata isu nasional akan membantu PN berdepan PH pada PRK Sungai Bakap.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata isu nasional akan digunakan Perikatan Nasional pada kempen PRK Sungai Bakap. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
‘Isu nasional’ akan dijadikan modal dalam usaha mempertahankan Sungai Bakap pada PRK 6 Julai ini, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Katanya, isu tersebut boleh ‘membantu’ gerak kerja kempen Perikatan Nasional (PN) berdepan Pakatan Harapan (PH).

“Banyak isu-isu nasional yang boleh membantu kita insya-Allah yang rakyat terasa betul dengan apa yang berlaku hari ini dan boleh memberi dukungan kepada kita (PN),” katanya menurut Harian Metro selepas penamaan calon PRK Sungai Bakap di Nibong Tebal.

‘Isu nasional’ dimaksudkan Hadi mungkin merujuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung bermula awal bulan ini, selain perkara berbangkit melibatkan syarikat pelaburan terkemuka dunia, BlackRock.

Dalam pada itu, Hadi yakin calon PN daripada PAS, Abidin Ismail, 56, terus meraih sokongan rakyat bersandarkan pencapaian baik ditinggalkan Allahyarham Nor Zamri Latiff, sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di Sungai Bakap.

“Calon kita adalah pembantu kepada wakil rakyat kita (sebelum ini) yang menjalankan tugas dan akan sambung tugas beliau (Nor Zamri),” katanya.

Abidin berdepan calon PH, Joohari Ariffin, dalam pertembungan dua penjuru. PN menang DUN Sungai Bakap pada PRN Pulau Pinang tahun lalu, dengan majoriti 1,563 undi.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.