31 premis makanan di Perak diarah tutup setakat Mei

31 premis makanan di Perak diarah tutup setakat Mei

Sebanyak 1,330 notis dengan nilai RM244,176 dikeluarkan kepada pemilik dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan.

Exco A Sivanesan dalam Operasi Perak Bersih dan Sihat (OPBS) dan Operasi Premis Makanan Bersih (OPMB) di sekitar Ipoh yang dijalankan serentak di seluruh negeri. (Gambar bernama)
IPOH:
Sebanyak 31 premis menjual makanan di seluruh negeri ini diarah tutup serta-merta kerana melanggar peraturan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 menerusi operasi bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan, berkata sebanyak 1,330 notis dengan nilai RM244,176 dikeluarkan kepada pemilik dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.

Beliau berkata, sebanyak 5,443 premis makanan diperiksa bagi tempoh itu dan antara kesalahan sering dilakukan kerana gagal mematuhi kehendak tugas am tuan punya premis, kebersihan premis dan pengendali makanan, tidak memakai apron dan penutup kepala serta pelbagai kesalahan lain.

“Sementara itu, bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 bagi tempoh sama sebanyak 3,809 notis dikeluarkan dengan nilai kompaun RM930,650 dan 1,730 notis daripada jumlah itu merupakan kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(d) iaitu merokok di tempat makan,” katanya pada sidang media malam tadi.

Terdahulu, beliau turut serta dalam Operasi Perak Bersih dan Sihat (OPBS) dan Operasi Premis Makanan Bersih (OPMB) di sekitar Ipoh yang dijalankan serentak di seluruh negeri.

Sivanesan berkata, dalam operasi mega bersepadu yang turut mendapat kerjasama polis, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak serta pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, sebanyak 359 premis diperiksa.

Menurutnya, sejumlah 316 notis kesalahan dikeluarkan kepada pengendali makanan kerana tidak mematuhi kehendak PPKM 2009 dengan nilai kompaun RM44,200 dan dua premis makanan diarahkan perintah penutupan sementara kerana tidak bersih.

“Kita juga mengeluarkan 81 notis yang membabitkan pelbagai kesalahan bawah PPKHT 2004 dengan nilai kompaun berjumlah RM20,150 dengan 62 kesalahan merokok di tempat makan, gagal pamer tanda larangan merokok (enam) dan gagal pastikan tiada orang merokok di premis makanan (dua),” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 6,544 premis juga diperiksa dengan 2,842 notis kesalahan dikeluarkan kepada pengendali makanan bawah PPKM 2009 melibatkan jumlah RM688,300 sepanjang tahun lepas dan 44 premis diperintahkan tutup sementara.

“Kita juga lakukan 2,678 operasi penguatkuasaan untuk kesalahan bawah PPKHT 2004 dengan 8,490 notis dikeluarkan dengan nilai kompaun RM2,122,500,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.