3 lelaki lagak polis disyaki menyamun direman

3 lelaki lagak polis disyaki menyamun direman

Polis percaya penangkapan semua suspek menyelesaikan beberapa kes samun sekitar Ipoh.

Polis turut merampas senjata berbahaya dan peralatan polis dimiliki secara tidak sah daripada suspek. (Gambar PDRM)
IPOH:
Polis menahan tiga lelaki kerana memiliki senjata berbahaya dan peralatan polis secara tidak sah dipercayai digunakan untuk kegiatan samun di Sungai Senam, semalam.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata pihaknya menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dalam keadaan mencurigakan selepas menerima maklumat orang awam kira-kira 6.10 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga lelaki dan kenderaan itu menemukan senjata berbahaya dan peralatan polis yang dimiliki secara tidak sah.

“Dengan tertangkapnya kumpulan ini, pihak polis percaya telah menyelesaikan beberapa kes samun dan menyamar sebagai pegawai polis di daerah Ipoh,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Abang Zainal Abidin berkata, semakan rekod lampau pula mendapati semua lelaki terbabit mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki tempatan berumur antara 27 hingga 37 tahun itu akan direman membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 89(a) Akta Polis 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.