Saman fitnah Azam terhadap wartawan selesai secara baik

Saman fitnah Azam terhadap wartawan selesai secara baik

Surat kepada mahkamah perbicaraan menyatakan pihak-pihak berkenaan telah mencapai penyelesaian secara baik.

azam baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kemuka saman ke atas Lalitha Kunaratnam pada Januari 2022 terhadap dua siri dikarang berjudul ‘Business ties among MACC leadership: how deep does it go?’.
KUALA LUMPUR:
Saman fitnah difailkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki terhadap wartawan, Lalitha Kunaratnam selesai tanpa perbicaraan yang dijadual bulan depan.

Pemfailan di Mahkamah Tinggi mendedahkan peguamcara kepada ketua agensi antirasuah itu dari firma guaman Khairuddin, Ngiam, dan Tan memfailkan notis pemberhentian pada 11 Jun.

“Surat ke perbicaraan mahkamah menyatakan pihak-pihak terbabit telah mencapai penyelesaian secara baik,” katanya.

Pengurusan kes diadakan hari ini di hadapan Hakim Justice Akhtar Tahir, yang menetapkan tarikh bicara bermula 9 Julai.

Lalitha berkata, persetujuan penyelesaian saman dicapai secara kesimpulan logik tanpa perintah kos.

“Tidak berbaloi melawan kes dalam tempoh panjang dan mahal yang mana mengerah masa dan sumber,” katanya kepada FMT.

Azam mengemukakan saman ke atas Lalitha pada Januari 2022 terhadap dua siri ditulisnya bertajuk, ‘Business ties among MACC leadership: how deep does it go?’.

Artikel terbabit diterbit dalam portal, Independent News Service, pada 26 Okt 2021, dan diterbitkan semula pada 15 Dis tahun sama.

Azam mendakwa Lalitha berkongsi pautan kepada artikel itu dalam akaun Twitter (yang kini dikenali X), @LalithaVelvet.

Katanya, artikel itu didakwa sensasi, bersifat skandal, dan menjengkelkan.

Beliau berkata, ia dikarang dan diterbitkan semula dengan niat jahat bagi memberi kesan serta gambaran yang amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif seorang penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.

Azam mendakwa, kenyataan dikatakan fitnah mencadangkannya beliau memiliki saham dan waran bernilai jutaan ringgit dibeli dengan wang didapati secara tidak sah.

Katanya, ia juga mencadangkan beliau melabur jutaan ringgit dalam tempoh singkat, dan tidak mengisytiharkan pembelian saham dan waran ketika berkhidmat sebagai pengarah siasatan SPRM.

Dakwanya, artikel berkenaan mencadangkan beliau dan adiknya secara langsung dan tidak langsung terlibat aktiviti haram menerusi syarikat dikenali RI Intelligence Sdn Bhd.

Dalam pernyataan pembelaan, Lalitha menafikan artikel dikarang memfitnah Azam, berdasarkan apa yang diekstrak daripada sumber disahkan serta merumuskan maklumat dengan tepat, adil, dan secara neutral.

Dalam apa jua keadaan, katanya beliau berhak bergantung kepada pembelaan justifikasi, perlindungan bersyarat, pelaporan neutral, ‘pembelaan Reynolds’, ulasan adil, dan beberapa peruntukan dalam Akta Fitnah 1957.

‘Pembelaan Reynolds’ dibangunkan House of Lords dalam kes bersejarah melibatkan Reynolds lawan Times Newspapers Ltd (1999).

Dalam kes itu, mahkamah atasan England memutuskan wartawan melaporkan secara bertanggungjawab perkara berkaitan orang awam, selain berhak dilindungi daripada saman fitnah walaupun laporan mengandungi dakwaan yang ternyata salah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.