Peralihan kepada dwirangkaian 5G bermula hari ini

Peralihan kepada dwirangkaian 5G bermula hari ini

SKMM telah diarah memulakan proses menentu dan melantik syarikat MNO yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua, kata Fahmi Fadzil.

Kementerian Komunikasi komited melaksanakan keputusan kerajaan berhubung peralihn kepada model dwirangkaian 5G dalam usaha menamatkan unsur monopoli, kata Fahmi Fadzil.
PUTRAJAYA:
Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan proses menentu dan melantik syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (MNO) yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua di Malaysia bermula hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ini termasuk mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon (AIP) pada 1 Julai.

Katanya, proses ini akan dilaksanakan secara telus berdasarkan kuasa dan peruntukan termaktub bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kementerian Komunikasi menyambut baik pengumuman daripada pihak Digital Nasional Bhd (DNB) berkenaan penyempurnaan syarat-syarat duluan bagi Perjanjian Langganan Saham (SSA) bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications untuk memegang saham dalam DNB.

“Ini merupakan antara langkah utama ke arah peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

DNB dalam kenyataan semalam mengesahkan kesemua syarat duluan yang terkandung bawah SSA telah berjaya dipenuhi.

Menurut DNB, ini ialah pencapaian penting berkenaan SSA dengan empat pengendali MNO di Malaysia, iaitu CelcomDigi Bhd melalui Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd melalui YTL Power International Bhd.

Sementara itu, Fahmi berkata, kementerian komited melaksanakan keputusan kerajaan agar negara beralih kepada model dwirangkaian 5G dalam usaha menamatkan unsur monopoli.

Ini juga akan memacu hala tuju industri telekomunikasi yang lebih berdaya saing dan mapan, katanya.

“Pelaksanaan rangkaian 5G kedua ini akan dapat membantu usaha meningkatkan liputan 5G, mewujudkan persaingan sihat dalam sektor telekomunikasi serta memastikan harga pelan dan mutu perkhidmatan 5G yang baik untuk rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.