
Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak yang terletak berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam mendapati tidak banyak kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang mengisi diesel di stesen berkenaan.
Walaupun keadaan itu mungkin menyebabkan jualan menurun, beberapa pengusaha dan pekerja stesen minyak terbabit menyatakan kelegaan kerana ia dilihat dapat mengekang sebarang aktiviti penyelewengan dan penyeludupan diesel.
Pengusaha sebuah stesen minyak di Changlun, kira-kira lapan kilometer dari Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Mohamad Nekmat Ariffin, 41, berkata kehadiran kenderaan asing di stesen minyaknya menurun selepas kerajaan menguatkuasakan harga baharu diesel pada kadar RM3.35 seliter.
Bagaimanapun, dia berkata keadaan itu tidak memberi kesan kepada perniagaannya kerana 80 peratus jualan diesel dikhususkan kepada syarikat logistik yang telah menjadi pelanggan tetap bagi mendapatkan sumber bahan api itu.
“Hanya 20% sahaja kuota diesel kami dijual kepada kenderaan persendirian atau komersial lain, termasuk kenderaan asing yang memang dihadkan sebanyak 20 liter sahaja bagi setiap belian.
“Dulu memang banyak kenderaan asing jenis pacuan empat roda isi diesel di sini tetapi sekarang hanya kenderaan penumpang seperti van sahaja, kehadiran mereka berkurang dengan ketara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohamad Nekmat yang mengusahakan stesen minyak berusia 35 tahun peninggalan arwah bapanya itu, turut merasakan kewajaran penyasaran subsidi diesel dilakukan bagi mengekang penyelewengan bahan api itu.
“Kadang-kadang kenderaan asing atau pihak yang ingin seludup diesel akan mengisi minyak di beberapa stesen tapi kita tak tahu pergerakan mereka atau berapa kali telah isi diesel. Jadi, bila penyasaran subsidi dilaksanakan harap tak ada lagi yang cuba seludup diesel,” katanya.
Dalam pada itu, dia mengakui berlaku penurunan jualan diesel di stesen minyaknya, namun ia disebabkan oleh peralihan syarikat logistik ke stesen minyak lain dan ada syarikat yang menangguh perjalanan kenderaan mereka sementara menunggu kad fleet untuk mendapatkan subsidi bahan api itu.
Pekerja sebuah stesen minyak di Lebuhraya Bukit Kayu Hitam-Jitra, Muhammad Irfan Kamarulan, 22, pula berkata jumlah kenderaan asing yang mengisi diesel di stesen minyak itu berkurang hingga lebih 50% selepas penguatkuasaan harga baharu itu.
“Kami menjual dua jenis diesel iaitu Euro 5 B10 dan Euro 5 B7. Dulu jualan bagi B10 dalam sehari kira-kira 8,000 liter tapi sekarang menurun kepada 5,000 ke 6,000 liter.
“Antara sebab penurunan ini ialah kenderaan asing semakin kurang isi minyak di sini, begitu juga bagi kenderaan tempatan yang berkurang mungkin sebab mereka sedang mohon kad fleet diesel,” katanya.