
GIP dijangka akan diambil alih oleh BlackRock, syarikat pelaburan Amerika Syarikat yang dituduh ‘mengaut keuntungan daripada genosid’ melalui kepentingannya dalam syarikat pertahanan yang didakwa mengeluarkan senjata digunakan oleh Israel.
Anwar berkata, beliau mengalu-alukan kritikan daripada pelbagai pihak berhubung pemerolehan itu, namun beliau menyeru rakyat agar bersatu dengan kerajaan dalam mencari penyelesaian kepada konflik di Gaza.
“Saya percaya sebahagian daripada yang menentang (pemerolehan) ini ada hujahnya, dan ikhlas, (tetapi) ada sebahagiannya nak tunggang politik. Kalau nak dapat ‘political point’, ini bukan tempatnya.
“Yang kurang bersetuju, tak apa, (mereka) ada hak untuk tak setuju, tetapi jangan jadikan ini wayang politik untuk menghasut. Beritahu saya, apa lagi cara boleh buat untuk (bantu) Gaza,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz hari ini.
Anwar berkata, ahli politik boleh berdepan pada PRK Sungai Bakap yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Semalam, Khairy Jamaluddin dan Mukhriz Mahathir mengkritik keputusan kerajaan dengan berkata, perdana menteri dan kerajaan bersubahat dalam genosid yang berlaku di Gaza jika perjanjian itu dimeterai.
GIP bagaimanapun menjelaskan, BlackRock tidak terlibat dalam langkah menswastakan MAHB.
Anwar menegaskan bahawa kerajaan berpegang teguh pada keputusannya tidak membenarkan syarikat Israel beroperasi di Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, negara tidak boleh mengharamkan semua syarikat yang dikaitkan secara tidak langsung dengan Israel tetapi beroperasi di luar negara.
“Takda upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkan (perkhidmatan syarikat-syarikat ini) kerana akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya.
“Jadi sementara (saya) akan keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza, tetapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara.”