Bunuh suami, wanita termasuk kekasih dipenjara 36 tahun

Bunuh suami, wanita termasuk kekasih dipenjara 36 tahun

Pihak pendakwaan berkata konspirasi kompleks dirancang bagi membunuh mangsa demi kepentingan peribadi.

 

Federal-court
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan mengarahkan G Puganeswaran dan K Annamah, menjalani 36 tahun penjara bermula 17 Feb 2012.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menukar hukuman mati terhadap bekas penjaga stor dan suri rumah yang disabit bersalah membunuh suaminya yang ditikam ketika tidur, 12 tahun lalu.

G Puganeswaran, 34, dan K Annamah, 47, diarahkan menjalani hukuman 36 tahun penjara bermula 17 Feb 2012.

Panel tiga hakim bersidang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengenakan 12 sebatan ke atas Puganeswaran.

Hakim Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan yang turut bersidang mendengar permohonan kes susulan pemansuhan hukuman mati mandatori tahun lalu.

Kedua tertuduh dibawa kes mereka mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Pada 28 Ogos 2020, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas Puganeswaran dan Annamah kerana membunuh M Ganesan.

Tertuduh ketiga yang juga pelajar, N Harichandran, masih di bawah umur ketika kesalahan diarahkan ditahan atas perkenan Sultan Selangor.

Menurut fakta kes, Annamah memberitahu Puganeswaran, jirannya, berhubung masalah perkahwinan sambil menyatakan dia sering dipukul suami, Ganesan, yang sentiasa pulang ke rumah dalam keadaan mabuk.

Pada 16 Feb 2012, selepas Ganesan masuk tidur, Puganeswaran mengarahkan Harichandran dan tiga yang lain bersubahat masuk ke flat didiami mangsa dan membunuhnya.

Annamah membuka pintu kediaman mereka untuk memboleh pelaku masuk. Bantal ditekap ke atas Ganesan, manakala dua kakinya dipegang penyerang sebelum mangsa ditikam mati menggunakan pisau.

Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee membantah permohonan semakan, memberitahu mahkamah bahawa Puganeswaran dan Annamah, yang bertunang dalam hubungan sulit mereka, bahawa pembunuhan telah dirancang terlebih dulu.

Katanya, Harichandran merekrut tiga yang lain membunuh Ganesan selepas dijanjikan habuan wang tunai.

Ketiga-tiga yang di bawah umur tidak dituduh, namun menjadi saksi pendakwaan.

“Pembunuhan dijalankan menerusi konspirasi kompleks bagi kepentingan peribadi dan atas alasan palsu salah laku si mati yang didakwa,” katanya.

Beliau menegaskan, Puganeswaran merupakan dalang kepada perancangan itu, didorong hubungan sulit dengan Annamah selain mahu mendapatkan keuntungan wang.

Ng berkata, kecederaan akibat tikaman oleh Harichandran cukup parah, ditusuk sehingga mengenai organ penting seperti hati dan buah pinggang, mengakibatkan pendarahan teruk menjurus kematian Ganesan.

Peguam Puganeswaran, A Saha Dewa, berkata anak guamnya tidak berada di lokasi kejadian jenayah dan tidak terlibat dalam pembunuhan itu.

“Dia bukan pembunuh namun dikaitkan dengan jenayah tersebut atas niat bersama seperti digunakan dalam Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya.

Saha Deva berkata, Puganeswaran yang dipenjara 12 tahun dan tiga bulan sepatutnya dibenarkan kembali ke pangkuan keluarganya untuk menjaga mereka.

Peguam mewakili Annamah, Wan M Razali Wan Kadir, berkata wanita berkenaan hanya memudahkan jenayah dan peranannya adalah minima.

Peguam itu mencadangkan anak guamnya dikenakan penjara 30 tahun minimum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.