
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Asyraf Rizal, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan satu dokumen iaitu borang permohonan program subsidi upah atas nama sebuah syarikat berjumlah RM88,200 di mana tertuduh tahu bahawa dokumen itu adalah palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Insurans Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di Putrajaya pada 16 Jun 2020.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rais Adha Ramli menawarkan jaminan RM80,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu hadir di Pejabat SPRM di Johor Bahru sebulan sekali sehingga kes selesai.
Bagaimanapun peguam tertuduh, Siti Nabila Hamzah memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya adalah penyara keluarga selain menanggung kos perubatan datuk dan neneknya.
Azrul kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 2 Ogos ini sebutan semula kes.