
Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki turut mengumumkan Musa Sheikh Fadzir selaku pengarah operasi dan Ahmad Maslan sebagai ketua ‘war room’.
“Umno akan menggerakkan sepenuhnya jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 6 Julai, dengan hari penamaan pada 22 Jun.
Pada PRN Pulau Pinang tahun lalu, Perikatan Nasional menerusi calon daripada PAS menewaskan calon Pakatan Harapan dengan majoriti 1,563 undi. Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Kali ini, PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminudin Baki cawangan utara, Joohari Ariffin, untuk merampas kerusi itu daripada PN, yang meletakkan Abidin Ismail, pembantu kepada Zamri.
Pertandingan bagaimanapun dijangka pelbagai penjuru, selepas Parti Rakyat Malaysia hari ini mengumumkan ia juga akan bertanding.