Malaysia, China komited pertingkat kerjasama demi faedah bersama

Malaysia, China komited pertingkat kerjasama demi faedah bersama

Malaysia dan China menyokong satu sama lain dalam penjagaan kedaulatan negara, keselamatan dan integriti wilayah, dan mematuhi prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

anwar ibrahim Li Qiang
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang, setuju mengekalkan momentum pertukaran peringkat tinggi untuk pembangunan hubungan dua hala yang stabil. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang, komited untuk menegakkan kebebasan strategik, mengejar pembangunan yang sama, mengekalkan kepercayaan bersama, menjaga keadilan dan kesaksamaan, dan meningkatkan kerjasama demi faedah bersama.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa kedua-dua negara menjadi jiran yang baik sejak beratus tahun, sahabat sejati yang ikhlas, dan rakan kongsi kerjasama menang-menang.

Sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974, terutama dengan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013, hubungan bilateral dipertingkatkan secara berterusan, memberikan manfaat penting kepada rakyat, dan menjadi pendorong kepada pembangunan dan kestabilan.

“Persahabatan seperti ini telah menyaksikan perubahan mendalam selama setengah abad dan menunjukkan semangat dan vitaliti,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin bersetuju dunia sedang mengalami perubahan yang mendalam dan telah memasuki tempoh ketidakstabilan dan transformasi baharu, serta Malaysia dan China merupakan wakil penting kepada negara-negara membangun di Asia dan ekonomi sedang pesat membangun.

Kepentingan strategik hubungan dua hala diketengahkan lagi, penting bukan sahaja kepada rakyatnya tetapi juga masa depan rantau ini, meningkatkan perpaduan dan kerjasama Global South.

Kedua-dua pemimpin komited mempromosikan dunia multipolar yang sama rata dan teratur, serta globalisasi ekonomi yang berfaedah dan inklusif secara universal.

“Malaysia sangat memuji Presiden Xi Jinping yang mengemukakan konsep membina ‘Community of Shared Future for Mankind’, ‘Belt and Road Initiative’, ‘Principle of Amity, Sincerity, Mutual Benefit and Inclusiveness in Neighbourhood Diplomacy’, ‘Global Development Initiative’, ‘Global Security Initiative’ dan ‘Global Civilisation Initiative’.

“China juga menyokong prinsip asas Malaysia Madani, menyokong dan mempromosikan inovasi, penjagaan dan belas kasihan, keterangkuman serta saling menghormati,” menurut kenyataan.

Kedua-dua negara mencapai kata sepakat penting untuk membina Komuniti China-Malaysia dengan Masa Depan Bersama pada 2023, dan kekal teguh untuk mengukuhkan dan memperdalam kerjasama dua hala dalam membawanya ke tahap yang lebih tinggi.

Anwar dan Li juga bersetuju untuk mengekalkan momentum pertukaran peringkat tinggi dan menyediakan panduan strategik yang penting untuk pembangunan hubungan dua hala yang stabil.

Kedua-dua pihak akan mempergiatkan pertukaran dan kerjasama antara kerajaan pusat dan tempatan, badan perundangan dan parti politik, meningkatkan komunikasi mengenai dasar, dan mengukuhkan perkongsian pengalaman mengenai tadbir urus.

“Malaysia mengagumi pencapaian China dalam era baharu dan menghargai usaha China untuk meremajakan negaranya dalam semua aspek menerusi pemodenan China.

“China menghargai pencapaian sosial dan ekonomi Malaysia di bawah Malaysia Madani,” menurut kenyataan.

Kenyataan itu memaklumkan Malaysia dan China menyokong satu sama lain dalam penjagaan kedaulatan negara, keselamatan dan integriti wilayah, dan mematuhi prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.

Malaysia mengulangi komitmen pada One China Policy, seperti dalam Joint Communique yang ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara pada 31 Mei 1974.

Selaras One China Policy, Malaysia mengiktiraf bahawa Taiwan ialah wilayah yang tidak boleh dipisahkan dari Republik Rakyat China, bagi membolehkan China mencapai penyatuan semula, dan dengan itu tidak akan menyokong sebarang permintaan untuk kemerdekaan Taiwan.

Kedua-dua negara mengesahkan komitmen untuk menjaga kestabilan sosial, melindungi keselamatan negara, dan meningkatkan perpaduan negara.

Li berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.