Lelaki edar ganja terlepas hukuman mati, dipenjara 30 tahun

Lelaki edar ganja terlepas hukuman mati, dipenjara 30 tahun

Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan Mohammad Firdaus Mohsin dikenakan 12 sebatan selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan.

Court of Appeal
Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan terhadap Mohammad Firdaus Mohsin atas kesalahan mengedar 9.528kg ganja, tujuh tahun lalu.
PUTRAJAYA:
Seorang ahli perniagaan terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman itu dengan penjara 30 tahun kerana mengedar 9.528kg ganja, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Zabariah Mohd Yusof dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati terhadap Mohammad Firdaus Mohsin, 40, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 Dis 2021.

Mahkamah turut mengesahkan sabitan Firdaus atas kesalahan mengedar dadah dan menolak rayuannya terhadap sabitan tersebut serta dikenakan 12 sebatan.

“Hukuman mati diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara 30 tahun,” kata Zabariah yang bersidang bersama-sama Hakim Harmindar Singh Dhaliwal dan Abdul Karim Abdul Jalil.

Pada 3 Dis 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap Firdaus selepas didapati bersalah mengedar dadah itu di tepi jalan Jalan Bukit berhadapan Stesen Kereta Api KTMB Kajang pada jam 10 malam pada 28 Mac 2017.

Pada 2 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman mati.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai polis menemukan beberapa keping ganja mampat dalam beg dibawa Firdaus.

Dalam pembelaannya, Firdaus mendakwa beg itu bukan miliknya, tetapi milik seorang pemandu Uber dan sedang menjaga beg itu sementara menunggu pemandu itu parkir keretanya.

Dia mendakwa datang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang untuk menghadiri majlis dan sedang menunggu bapa saudaranya membawanya ke rumah (bapa saudara) di Sungai Ramal, Kajang.

Semasa perbicaraan, pemandu e-panggilan, Mohd Sabri Salleh, memberi keterangan bahawa dia menerima tempahan Firdaus melalui aplikasi Uber untuk menghantarnya dari KL Sentral ke stesen KTMB Kajang.

Katanya, dia melihat Firdaus membawa beg itu dan meletakkannya sebelahnya (Firdaus) di tempat duduk belakang kereta.

Firdaus diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustahir Md Nor dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulkpli Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.