Uji sama ada keputusan speaker Kelantan boleh dipersoal di mahkamah, kata pakar

Uji sama ada keputusan speaker Kelantan boleh dipersoal di mahkamah, kata pakar

Keputusan kerusi DUN Nenggiri kosong muktamad sekiranya keputusan speaker tidak boleh dipersoalkan.

Azizi Abu Naim mengumumkan akan bawa keputusan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah ke mahkamah, selepas kekosongan diisytiharkan bagi kerusi Nenggiri.
PETALING JAYA:
Persoalan sama ada keputusan speaker DUN Kelantan boleh dipersoalkan di mahkamah berhubung kekosongan kerusi Nenggiri wajar diuji, menurut seorang pakar perundangan.

Terdahulu, Azizi Abu Naim mengumumkan akan membawa keputusan Speaker Mohd Amar Abdullah ke mahkamah, selepas kekosongan diisytiharkan bagi kerusi Nenggiri susulan notis daripada Bersatu bahawa beliau hilang keahlian parti.

Azizi sebelum ini mendakwa kandungan notis daripada setiausaha agung Bersatu kepada beliau berhubung keahliannya ‘amat kabur’, dan pimpinan parti didakwa ‘tidak adil serta tidak profesional’ dalam interaksi mereka.

Azizi menang kerusi DUN Nenggiri atas tiket PAS pada PRN Kelantan tahun lalu. Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang antara enam wakil rakyat daripada Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Sama ada mahkamah boleh persoalkan atau tidak perlu bawa ke mahkamah dulu,” kata Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood kepada FMT.

“Persoalan undang-undang ialah sama ada keputusan speaker muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah. Jika ‘tidak’, maka keputusan speaker muktamad.”

Berhubung kedudukan Azizi di Dewan Rakyat, Nik Ahmad berkata keputusan yang berlainan akan jadi ‘tidak baik’ bagi undang-undang antilompat parti.

“Kalau berlainan keputusan speaker Dewan Rakyat, maka jelas peruntukan undang-undang antilompat parti ditafsirkan secara berlainan mengikut budi bicara speaker,” katanya.

Selain Azizi, Ahli Parlimen lain yang menyokong Anwar ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari pula menyokong Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Keahlian mereka dikatakan terhenti kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.