
Presiden Persatuan Perunding MM2H, Anthony Liew berkata, kebimbangan utama adalah syarat pemilikan hartanah itu menyebabkan lebih mahal untuk pemohon memperoleh visa jangka panjang.
Bagi kategori “silver” dengan tempoh pas MM2H selama lima tahun, katanya, bakal pemohon perlu membeli sebuah hartanah bernilai sekurang-kurangnya RM600,000, selain memasukkan USD150,000 (kira-kira RM710,000) dalam simpanan tetap, bererti komitmen kewangan minimum sekitar RM1.3 juta.
Beliau berkata, walaupun jumlah simpanan tetap dikurangkan, pembelian hartanah mandatori dan tempoh pegangannya menimbulkan kebimbangan.
“Pemohon kini perlu memegang hartanah dibeli sekurang-kurangnya 10 tahun dan ini keterlaluan untuk mereka di bawah kategori ‘silver’ kerana membabitkan visa lima tahun.
“Tempoh pegangan lebih lama mungkin mengekang pemohon yang tidak mahu memberikan komitmen untuk pelaburan berjangka terlalu panjang,” katanya kepada FMT.
Beliau turut mempersoalkan sama ada nilai hartanah minimum RM600,000 terpakai untuk negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kerana Putrajaya sebelum ini menetapkan harga minimum RM1 juta untuk warga asing membeli kediaman di Lembah Klang dan RM800,000 bagi hartanah bertingkat tidak terjual di Pulau Pinang.
Ambang ini berbeza mengikut lokasi dan jenis di negeri berlainan.
Liew bagaimanapun mengakui beberapa perkara positif dalam kriteria baharu itu, termasuk usia minimum pemohon diturunkan kepada 25 tahun, yang menurutnya mampu menarik lebih ramai pemohon muda.
Beliau turut memuji pemansuhan syarat pendapatan luar pesisir yang akan memanfaatkan pesara mungkin tidak lagi mampu menikmati pulangan bulanan, selain penghapusan syarat untuk memberikan bukti aset cair juga meringankan beban kewangan pemohon.
Liew berharap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing akan terbuka menemui kumpulan perunding berhubung isu pelesenan yang menjejaskan ejen MM2H dan syarat baharu program berkenaan.
Terdapat 56,066 pemegang pas aktif MM2H setakat 31 Jan lalu. Syarat terbaharu memerlukan pemohon 50 tahun ke atas mempunyai aset cair RM1.5 juta, pendapatan bulanan RM40,000 dan simpanan tetap RM1 juta sebaik permohonan mereka diluluskan.
Bagi pemohon berusia 35 hingga 49 tahun, kriterianya sama tetapi turut termasuk tambahan deposit RM50,000 bagi setiap tanggungan.
Di bawah peraturan baharu itu, MM2H terbahagi kepada tiga kategori, iaitu platinum, gold, dan silver, dengan setiap satu mempunyai syarat kewangan serta manfaat berbeza.
Kategori platinum memerlukan simpanan tetap RM5 juta, manakala gold dan silver masing-masing RM2 juta serta RM500,000, selain tempoh visa dan syarat pembaharuan berlainan.
Jaminan bank RM200,000 untuk agensi MM2H keterlaluan
Seorang ejen MM2H yang enggan dinamakan berkata, peraturan terbaharu itu menelan kos tinggi untuk agensi kerana perlu memberikan jaminan bank RM200,000 kepada kerajaan.
Memandangkan hanya sekitar 200 agensi masih beroperasi, separuh daripada bilangan sebelum prapandemik, Liew berkata, syarat baharu itu membayangkan kerajaan mahu terus mengecilkan industri berkenaan.
“Ada antara firma ini sudah hampir bankrap. Jadi RM200,000 memang jumlah terlalu tinggi.”
Menurutnya, peraturan MM2H asal lebih baik kerana pemohon hanya perlu mempunyai simpanan tetap RM300,000 tanpa kewajipan membeli hartanah.
“Mereka yang datang dari AS dan Eropah lazimnya tidak membeli hartanah, sebaliknya lebih cenderung menyewa.”