
Suboh Yasin, yang menyertai SRC pada 2011 berkata aktiviti harian itu digambarkan sebagai ‘cabang’ kepada Kementerian Kewangan.
“Operasi SRC diuruskan seperti jabatan kerajaan lain bawah Datuk Seri (Najib), yang menjadi perdana menteri dan menteri kewangan,” katanya.
Suboh mendakwa, Najib mempunyai ‘kawalan penuh dan mutlak’ terhadap segala aspek operasi syarikat, kecuali Lembaga Pengarah.
“Saya merasakan peranan saya tiada beza seperti penjawat awam dalam jabatan kerajaan,” katanya memberi keterangan dalam kes perbicaraan saman SRC International terhadap Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.
SRC International mengemukakan saman ke atas Najib dan Nik Faisal kerana secara salah menerima harta syarikat, dan secara tidak jujur serta salah bersubahat menukar harta syarikat demi kegunaan peribadi.
Penghakiman ingkar kehadiran telah dikemuka terhadap Nik Faisal.
Saman pada asalnya turut melibatkan Suboh, dan bekas pengarah, Ismee Ismail, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azhar Osman Khairuddin, dan Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, sebagai defendan bersama.
SRC International kemudian menggugurkan kes ke atas semua mereka. Bagaimanapun, mereka dimasukkan selaku pihak ketiga oleh Najib.
Suboh, bekas penjawat awam, berkata pengarah terbiasa mengikuti semua arahan pihak ‘atasan’.
“Jika pihak atasan memerlukan kami melakukan sesuatu, kami tidak berada dalam sebarang kedudukan membantah setelah diarahkan untuk dilaksanakan. Kami perlu mengambil semua langkah untuk melaksanakannya,” katanya.
Suboh juga memberitahu mahkamah, Nik Faisal adalah ‘proksi’ Najib dalam syarikat, dan beliau menyampaikan mesej Najib kepada pengarah.
“Nik Faisal hanya akan mendekati saya jika beliau memerlukan saya tandatangan sebarang dokumen,” kata Suboh.
Katanya, beliau pada mulanya menyoal apa yang telah ditandatangani.
“Pertanyaan saya sering diketepikan dengan kenyataan mencadangkan urusan mesti dilakukan atas arahan perdana menteri.
“Beliau (Nik Faisal) akan kata seperti ‘bos nak lah’ atau ‘diminta pihak atas’,” katanya sambil menambah beliau memahami terma ‘bos’ dan ‘pihak atas’ merujuk Najib.
Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.