Pemain boling negara Li Jane juara Terbuka AS

Pemain boling negara Li Jane juara Terbuka AS

Sin Li Jane menjadi wakil Asia kedua memenangi kejohanan tersebut selepas Shinobu Saitoh dari Jepun pada 1982.

Sebagai juara Kejohanan Terbuka Wanita AS di Indianapolis, Sin Li Jane membawa pulang hadiah wang USD60,000, jaket hijau kejuaraan dan trofi. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pemain boling wanita negara Sin Li Jane melakar sejarah muncul atlet Malaysia pertama memenangi Kejohanan Terbuka Wanita Amerika Syarikat di Royal Pin Woodland, Indianapolis, pada Selasa.

Pemain berusia 32 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang merangkul kejuaraan selepas menewaskan pemain Latvia Diana Zavjalova 226-214 pada perlawanan akhir ‘stepladder’.

Keputusan dicatat itu sekali gus menyaksikan Li Jane menjadi wakil Asia kedua memenangi kejohanan tersebut selepas Shinobu Saitoh dari Jepun pada 1982.

Kejohanan itu mula diperkenalkan pada 1949 dan pencapaian terbaik pemain boling Malaysia sebelum ini adalah menerusi Shalin Zulkifli yang menduduki tempat ketiga pada 2008.

Selaku juara, Li Jane membawa pulang hadiah wang USD60,000 (kira-kira RM282,900) selain jaket hijau kejuaraan dan trofi, manakala naib juara menerima USD30,000 (kira-kira RM141,500).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.