
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan, berkata kerjasama jendela tunggal antara Malaysia dan China ini boleh meningkatkan kecekapan proses perdagangan rentas sempadan melalui pendigitalan proses kawal selia perdagangan, penghapusan keperluan mengemukakan dokumentasi lewah.
Selain itu, beliau berkata, ia juga akan menggalakkan pertukaran maklumat lebih lancar serta tepat antara pemegang kepentingan dan rakan dagang lain.
“Usaha untuk membangunkan kerjasama jendela tunggal ini juga menyantuni aspirasi kerangka Ekonomi Madani yang menekankan transformasi digital dan memudah cara perniagaan bagi merancakkan lagi ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.
Kerjasama jendela tunggal yang dipersetujui ini dimaklumkan melalui kenyataan bersama Kementerian Kewangan dan Pentadbiran Am Kastam China bagi Kerjasama Jendela Tunggal dalam Perdagangan Rentas Sempadan, ditandatangani bersama Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pentadbiran Am Kastam China Yu Jianhua.
Anwar menerima kunjungan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang di Perdana Putra, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tertutup membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu kepentingan bersama serantau dan antarabangsa.
Antara inti pati hasil perbincangan dua hala itu adalah komitmen Malaysia dan China untuk memperkasa serta mempelbagaikan lagi aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.
Pada suku pertama 2024, perdagangan Malaysia dengan China meningkat kepada RM112.28 bilion berbanding RM108.66 bilion pada tahun lalu. Ini meliputi jumlah eksport dari Malaysia ke China sebanyak RM44.5 bilion dan import dari China sebanyak RM67.78 bilion.