Ambil tindakan tegas terhadap pencuri air, kata Hajiji

Ambil tindakan tegas terhadap pencuri air, kata Hajiji

Ketua menteri Sabah berkata pihak didapati mencuri air perlu didakwa di mahkamah, bukan hanya dikenakan kompaun.

Hajiji Noor berkata bekalan air ke UMS terhad disebabkan oleh sambungan haram yang membekalkan air ke beberapa kampung di belakang universiti berkenaan. (Gambar JANS)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mengarahkan jabatan air negeri menggunakan undang-undang bawah bidang kuasanya dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang disyaki mencuri air.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri, Hajiji menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang mencuri air selepas sambungan haram dikenal pasti sebagai punca utama untuk air tanpa hasil (NRW) negeri yang mencecah 60%, tertinggi dalam negara.

“Tangkap dan dakwa mereka di mahkamah. Begitu juga dengan kilang-kilang yang didapati mencuri air perlu dibawa ke mahkamah dan bukan hanya dikenakan kompaun,” katanya dalam mesyuarat pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

Kira-kira 80 penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan protes di Menara Kinabalu petang Jumaat lalu mengenai isu bekalan air di universiti tersebut sebelum bersurai pada pagi Sabtu selepas gagal menyerahkan memorandum kepada Hajiji.

Susulan protes itu, Hajiji berkata Kabinet negeri memanggil Jabatan Air Negeri Sabah untuk memberi taklimat.

Jabatan itu melaporkan bahawa empat hingga tujuh juta liter air dibekalkan setiap hari kepada UMS, manakala satu telaga tiub membekalkan satu juta liter air sehari.

Bagaimanapun, bekalan air ke UMS terhad disebabkan oleh sambungan haram yang membekalkan air ke beberapa kampung di belakang universiti berkenaan.

Hajiji mengarahkan pasukan penguat kuasa memotong sambungan haram itu dan mencadangkan pemasangan tangki berkapasiti 500 liter di lokasi tersebut.

Katanya, apabila loji rawatan air Telibong II beroperasi, ia akan menyediakan tambahan 160 juta liter air sehari untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan utara Sabah, termasuk UMS dan kawasan sekitarnya.

Katanya, kerja untuk meningkatkan bekalan air di bahagian selatan pantai barat negeri itu – yang akan memberi manfaat kepada penduduk di Papar, Lok Kawi dan Putatan – sudah dimulakan lapan bulan lalu dan dijangka siap pada 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.