
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) menjelaskan langkah itu selaras usaha meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka.
“Pelaksanaan dasar ini dijangka menarik lebih banyak syarikat Bumiputera berkecimpung dalam industri automotif.
“Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” lapor Bernama.
Miti memaklumkan antara syarat ditetapkan syarikat terbabit harus berstatus sendirian berhad, pemilikan 100% Bumiputera, mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta, dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.
Justeru, syarikat bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan boleh merujuk di https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796 bagi mendapatkan garis panduan, borang permohonan dan senarai semak.
Miti berkata, objektif utama kerajaan adalah untuk terus memperkasakan agenda sosioekonomi Bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing terlibat sektor automotif.
Miti berkata, dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak 1970 telah berjaya melahirkan syarikat Bumiputera berdaya maju, bukan sahaja dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan, malah dalam aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans, dan logistik.
Dasar tersebut merupakan antara dasar berkaitan Bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30% pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara seperti ditetapkan Dasar Ekonomi Baharu.