Sasar subsidi pacu rating kredit Malaysia, kata ahli ekonomi

Sasar subsidi pacu rating kredit Malaysia, kata ahli ekonomi

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Afzanizam Rashid berkata ia susulan penyasaran subsidi diesel.

KL skyline
Penarafan kredit memacu pertumbuhan ekonomi negara kerana mengurangkan kos pinjaman, meningkatkan keyakinan pelabur, dan meningkatkan akses dalam pasaran modal.
PETALING JAYA:
Pelaksanaan penyasaran subsidi membawa Malaysia kepada peningkatan penarafan kredit memandangkan kerajaan serius melakukan reform ekonomi dan penyatuan fiskal, kata ahli ekonomi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu menggantikan subsidi menyeluruh, yang menyebabkan negara menanggung kos RM81 bilion tahun lalu dengan penyasaran bantuan demi mengurangkan defisit bajet 2024 kepada 4.3% daripada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 5% pada 2023.

Mulai 3 Jun lepas, harga runcit diesel ditetapkan kepada 3.15 seliter di Semenanjung menerusi penyasaran subsidi. Bagaimanapun, program Budi Madani menyediakan bantuan bulanan RM200 kepada pemilik kenderaan dan perniagaan terpilih sebagai meredakan kenaikan bahan bakar itu.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Afzanizam Rashid berkata berkata, walaupun mengundang kritikan, langkah itu membawa isyarat kepada agensi penarafan kredit antarabangsa seperti Moody’s, Fitch Ratings, dan S&P Global Ratings bahawa kerajaan mengambil tindakan dalam rancangan penyasaran subsidi.

Katanya, penarafan kredit mampu menyumbang kestabilan ekonomi negara dan pertumbuhan dengan merendahkan kos pinjaman, meningkatkan keyakinan pelabur, dan meningkatkan akses pasaran modal.

“Apabila kerajaan memaparkan disiplin kewangan, mereka akan mendapat semakan baik daripada agensi rating dan prospek lebih baik bergerak ke hadapan,” katanya.

“Kita sekarang di tahap ‘stabil’, namun jika penyatuan fiskal mendapat lebih anjakan, saya tidak terkejut andai rating kita berubah kepada ‘stabil’ kepada ‘positif’ dan ia bagus untuk pasaran bon kita.”

Tahun lalu, Moody’s mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada ‘A3 stabil’, dengan Fitch Ratings meletakkan kepada ‘BBB+ stabil’, dan S&P Global Ratings pada tahap ‘A- stabil’.

Semua tiga agensi penarafan kredit merujuk kepentingan mengurangkan jumlah tanggungan subsidi negara dan belanja berhemah ketika mengumumkan rating tahun lalu.

Penyasaran subsidi diesel menjadi langkah ketiga dalam usaha kerajaan menstruktur semula peruntukan subsidi, selepas penjimatan RM4.4 bilion menerusi pelarasan tarif elektrik, dan RM1.2 bilion penjimatan kesan pengapungan harga ayam dan telur.

Pensyarah kanan ekonomi dari Universiti Malaya, Goh Lim Thye berkata belanja tinggi subsidi yang digambarkan Anwar sebagai tertinggi di Asia, menjadi kekangan Malaysia bergerak ke arah negara maju mengambil kira dana tidak dapat disalurkan bagi tujuan pembangunan.

Katanya, penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun mampu menambah perbelanjaan awam dan
merendahkan defisit bajet.

“Penyasaran subsidi melambangkan komitmen kerajaan melakukan penyatuan fiskal dan kestabilan ekonomi jangka panjang,” katanya kepada FMT.

“Peralihan dasar ini sebahagian Bajet 2024, di mana unjuran pengurangan belanja subsidi dan bantuan sosial daripada RM64.2 bilion pada 2023 kepada RM52.8 bilion, menggariskan fokus strategik meningkatkan kesihatan fiskal negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.