
Persatuan Trak Tunda dan Pengangkutan Kereta 1 Malaysia (1MTTCC) mendakwa sejak penyasaran subsidi diesal pada 10 Jun, kos operasi mereka naik sekali ganda susulan peningkatan harga diesel kepada RM3.35 seliter daripada RM2.15.
Presidennya Yusof Yahya berkata mengikut garis panduan dikeluarkan pada 2018, pihaknya hanya boleh mengenakan caj perkhidmatan sebanyak RM150 bagi 1km hingga 10km, namun peningkatan kos menyebabkan mereka tidak lagi mampu patuh kepada pekeliling itu.
“Kami memang amat terbeban dengan pelaksanaan ini, diesel bukan naik 20 sen atau 30 sen tapi naik mendadak RM1.20 hingga menyebabkan perniagaan berkurangan hampir 50%.
“Pengguna juga fikir banyak kali nak guna perkhidmatan kami kerana hampir semua pengusaha terpaksa naikkan caj sekali ganda,” katanya pada sidang media berkait penyasaran subsidi diesel, yang turut dihadiri bekas Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara Kumar dan Presiden Gerakan Dominic Lau.
Sebelum ini, FMT melaporkan syarikat penunda kenderaan antara yang menaikkan harga perkhidmatan susulan peningkatan harga diesel, ekoran tidak tersenarai dalam kategori kenderaan layak menerima subsidi diesel.
Yusof berkata, pihaknya akan menghantar surat permohonan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.
Dalam pada itu, Penasihat 1MTTCC P Saravenan menyangkal dakwaan ahli mereka menyeleweng diesel subsidi sehingga berlaku ketirisan dua bilion liter diesel tahun lalu.
“Ada menteri salahkan syarikat tunda salah guna diesel subsidi, kalau ada salah guna, bawa lah mereka ini (dalang) ke muka pengadilan. Janganlah kerana seorang, satu industri kena,” katanya.
Katanya, jika kerajaan berkeras enggan memberikan subsidi kepada pengusaha tunda kenderaan, mereka akan membuat laporan polis di seluruh Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mendakwa sektor pembinaan dan syarikat perkhidmatan termasuk penunda kenderaan dikesan antara pihak menyalah guna diesel subsidi tahun lalu.
Sementara itu, Santhara berkata pengusaha tunda kenderaan kerap tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan.
“Saya rayu perdana menteri beri perhatian kepada pengusaha trak penunda, kalau Anwar nak bagi sedekah, berilah sedekah juga kepada mereka,” katanya merujuk kenyataan Anwar pada Oktober tahun lalu bahawa subsidi adalah ‘sedekah’ daripada kerajaan kepada rakyat.
Menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0, sektor pengangkutan awam darat berkelayakan termasuk bas ekspres, bas sekolah, ambulans dan bomba kekal membeli diesel pada harga RM 1.88 seliter.
Bagi SKDS 2.0 kenderaan logistik berkelayakan akan menggunakan kaedah kad fleet bagi membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.
Kenderaan layak seperti lori rigid (curtain sider), lori katering makanan; lori rigid (hasil pertanian); lori tangki rigid (minuman); lori rigid (kandang haiwan); semi (panel van); serta lori rigid (kombinasi).
Selain itu, bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform); van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan; lori rigid (perkhidmatan bergerak); van katering makanan; dan lori rigid (sampah) turut layak.