Penganggur ditahan bersama ganja RM309,000

Penganggur ditahan bersama ganja RM309,000

Lelaki berusia 46 tahun menjadikan keretanya sebagai stor ganja sebelum diserbu di kawasan parkir sebuah apartmen.

Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis membongkar taktik seorang penganggur yang menjadikan keretanya sebagai stor menyimpan hampir 100kg ganja bernilai RM309,000 dalam serbuan di kawasan parkir sebuah apartmen di Gat Lebuh Macallum, Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, berkata sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Timur Laut melancarkan Operasi Tapis di kawasan itu sebelum menahan lelaki berusia 46 tahun pada 1 tengah hari.

“Lelaki itu ditahan di kawasan parkir motosikal dan pemeriksaan awal menemukan dua ketulan mampat ganja seberat hampir dua kg bernilai RM6,000. Suspek dipercayai mahu menghantar dadah berkenaan kepada pelanggan.

“Hasil soal siasat, polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Honda CRV yang terletak 500m dari lokasi suspek ditahan dan menemukan empat kotak plastik di tempat duduk penumpang,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas empat kotak itu polis menjumpai 98 ketulan mampat ganja seberat 98kg bernilai RM303,000 dan siasatan awal mendapati lelaki terbabit menjadikan kereta itu sebagai stor menyimpan dadah.

Hamzah berkata, hasil risikan mendapati suspek yang juga penganggur itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal bulan dan dipercayai bergerak sendirian sehingga mampu mengaut keuntungan puluhan ribu setiap bulan.

Lelaki itu mendapatkan bekalan ganja daripada rangkaian sindiket dadah sebelum menyimpannya dalam kereta Honda CRV yang diletakkan di kawasan parkir di apartmen berkenaan.

“Kereta itu tidak bergerak dan dibiarkan di kawasan parkir, dia akan membawa pelanggan ke kenderaan berkenaan dan jika (pelanggan) setuju untuk membeli suspek akan menjualnya di situ,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan lelaki itu memasarkan bekalan ganja di sekitar negeri ini terutama di daerah Timur Laut dan semua dadah yang dirampas boleh digunakan 200,000 penagih.

Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai 12 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, kini direman tujuh hari hingga 21 Jun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.