JS-SEZ boleh tampung kehilangan bakat Johor, kata tokoh perniagaan

JS-SEZ boleh tampung kehilangan bakat Johor, kata tokoh perniagaan

Pemain industri robotik dan AI dijangka dapat menyediakan pekerjaan bergaji tinggi dan membantu mengekalkan bakat.

Dianggarkan 300,000 rakyat Malaysia merentasi Selat Johor untuk bekerja di Singapura setiap hari, tertarik dengan gaji lebih tinggi dan dolar Singapura yang kukuh. (Gambar AP)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan harus memberi tumpuan kepada usaha menarik industri pembuatan termaju untuk menyertai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi menampung kehilangan bakat yang berlarutan kepada perniagaan di seberang tambak, kata seorang pemimpin perniagaan.

Presiden Persatuan Perniagaan India Johor P Sivakumar berkata, peralihan daripada industri berkemahiran rendah dan intensif buruh kepada industri berteknologi tinggi akan menaikkan gaji tempatan dan mampu mengekalkan bakat.

“Kita sedang lihat kepada industri berteknologi tinggi dengan automasi tinggi, seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI), yang tidak bergantung kepada tenaga buruh murah.

“Apabila warga Singapura (atau pelabur asing lain) datang ke Johor, isu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura diharapkan dapat dikurangkan. Rakyat Malaysia akan kembali ke Johor untuk bekerja, dengan gaji lebih tinggi, kerana ini bukan kerja (buruh) kasar.

“Industri-industri ini penting untuk Johor sekarang,” kata Sivakumar kepada FMT dalam satu temu bual.

Dianggarkan 300,000 rakyat Malaysia merentasi Selat Johor setiap hari, tertarik dengan gaji lebih tinggi dan dolar Singapura yang kukuh.

Bulan lepas, Johor mencadangkan agar 16 sektor ekonomi dimasukkan bawah JS-SEZ, iaitu elektrik dan elektronik, perubatan; penerbangan; kimia khusus; logistik; kesihatan; pendidikan; perkhidmatan kewangan dan perniagaan; tenaga; ekonomi digital; pelancongan; makanan, teknologi pertanian; industri kreatif; pembuatan; dan industri halal.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi juga berkata, zon ekonomi itu akan merangkumi lima majlis tempatan, iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Kulai dan Kota Tinggi.

Sivakumar berkata, tanah Johor yang luas dan tenaga kerja berkelayakan akan melengkapkan industri logistik dan teknologi Singapura yang maju, menjadikan JS-SEZ pilihan yang menarik untuk pelabur serantau dan antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, JS-SEZ harus ‘melihat ke luar Singapura’, menarik pelabur lain dari rantau ini dan lebih luas lagi dengan memanfaatkan reputasi negara itu sebagai hab kewangan dan pengangkutan serantau.

“Zon ekonomi khas ini sepatutnya menjadi pintu masuk kepada pelabur luar negara untuk memasuki Johor melalui Singapura,” kata Sivakumar.

Menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan lubuk bakat Johor, beliau berkata, kerajaan negeri sedang giat membangunkan modal insannya melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Johor, di mana pelajar yang tercicir dari sekolah menengah digalakkan mendaftar dalam program mekanikal dan elektrikal.

Sementara itu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berkata, tenaga kerja dan industri pembuatan negara akan mendapat manfaat jika syarikat multinasional (MNC) bertapak di JS-SEZ baharu itu.

Ryan Lee, pengerusi bahagian wilayah selatan Samenta berkata, MNC berteknologi tinggi akan memajukan pembangunan bakat tempatan.

“Jadi kerajaan harus mempertimbangkan untuk mengenakan kadar cukai lebih mesra untuk memberi peluang kepada perniagaan asing membangunkan kilang di Malaysia dan membina industri dan rantaian permintaan bekalan kita,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.