
Brian Lim berkata, bekalan telur kemungkinan terjejas jika berlaku lonjakan permintaan kerana sukar untuk pengusaha mengeluarkan bekalan tambahan dalam tempoh singkat.
“Kami mengambil masa bagi memenuhi permintaan yang tinggi. Tidak boleh tambah (bekalan) dalam masa singkat.
“Terpulang kepada permintaan telur. Kalau permintaan tinggi, kemungkinan terjejas,” katanya kepada FMT.
Brian berkata setakat ini permintaan dan bekalan telur masih stabil.
“Macam bekalan telur di tempat saya masih baik lagi dan dapat memenuhi permintaan pelanggan terutama pelanggan tetap kami,” katanya.
Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia, Lee Yoon Yeau, berkata pihaknya tidak menjangkakan sebarang isu kekurangan telur ayam di pasaran kerana bekalan ketika ini mencukupi.
“Bekalan masih mencukupi. Kita tak jangkakan apa-apa.
“Kekurangan bekalan telur boleh berlaku jika ada perkara luar kawalan seperti penyakit, cuaca buruk atau pengurangan pengeluaran,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan 3 sen untuk harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara.
Anwar berkata, langkah itu membabitkan subsidi 10 sen bagi sebiji telur ayam melibatkan perbelanjaan RM100 juta.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin, berpendapat kerajaan sepatutnya meningkatkan bekalan telur ayam bersubsidi di pasaran dan bukan menurunkan harga runcit bahan makanan itu.
Ameer berkata, sejak beberapa bulan lalu bekalan telur di pasaran tidak mencukupi.