
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata tiga individu itu ditahan sekitar Sabah susulan penahanan lima individu di sekitar Kota Kinabalu dan Perlis sejak Khamis lalu.
Katanya, suspek yang ditahan di Perlis akan diterbangkan ke Kota Kinabalu untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.
Menurutnya, polis percaya lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat, hasil siasatan ke atas lapan suspek terbabit.
“Selain memberi fokus terhadap siasatan, usaha mendapatkan kembali wang yang dilaporkan hilang turut dilakukan,” katanya dalam kenyataan menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, tujuh daripada suspek terdiri ahli sindiket dan kakitangan bank.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan,” katanya.
Semalam, Ramli dipetik berkata polis menahan lima individu iaitu dua pegawai bank dan tiga individu lain yang dikesan terlibat berhubung kehilangan wang terbabit.
Katanya, siasatan awal mendedahkan terdapat pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang berkaitan kerana ia hanya boleh dilakukan dengan ‘bantuan’ dalaman bank.
Katanya, awal bulan ini polis menerima empat laporan berkaitan kehilangan wang dari akaun simpanan tetap di Petaling Jaya.