Tuntut kerusi: Pertembungan dijangka melarat ke kawasan DAP

Tuntut kerusi: Pertembungan dijangka melarat ke kawasan DAP

Penganalisis berkata kebijakan dalam rundingan kerusi amat penting jika BN dan PH mahu bekerjasama pada PRU16.

ph-bn
Pemimpin BN dan PH harus tunjuk kebijakan dalam menyelesaikan pertembungan berkait kerusi pilihan raya, yang penganalisis jangka akan melarat.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menjangkakan pertembungan antara sekutu, sepertimana tuntutan MCA ke atas DUN Kota Lama yang disandang Amanah, akan melarat ke kawasan lain terutama kerusi DAP.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berkata kebijakan dalam perundingan kerusi amat penting jika Barisan Nasional dan Pakatan Harapan mahu bekerjasama pada PRU16.

Beliau mengambil kira situasi MCA ketika ini yang walaupun sebuah parti nasional dianggap ‘minoriti’ berbanding DAP dari segi sokongan pengundi.

“Pertembungan ini memang tidak dapat dielakkan,” katanya kepada FMT. “Mereka berkeras mahu bertanding kerana mahu menguji tahap sokongan pengundi, selain mahu buktikan masih relevan.”

Ariff menambah pemimpin utama BN dan PH harus menunjukkan kebijakan dengan mencari penyelesaian yang tidak merugikan mana-mana pihak.

Berdasarkan pertembungan pada PRU15, MCA dan DAP bertembung di banyak kerusi campuran dengan kebanyakannya dimenangi DAP. MCA hanya menang di Parlimen Ayer Hitam menerusi Presiden Wee Ka Siong, dan di Tanjung Piai yang dimenangi Wee Jeck Seng.

FMT sebelum ini melaporkan Amanah dan MCA menuntut kerusi DUN Kota Lama terletak di Kelantan, dengan MCA mendakwa ia kawasan tradisi yang ditandingi mereka sejak sekian lama, sebelum tidak bertanding pada PRN Ogos tahun lalu.

Amanah berkeras mahu mempertahankan kerusi itu pada PRU16, selaku penyandang susulan kemenangan Dr Hafidzah Mustaqim pada pilihan raya negeri itu selepas bekerjasama dengan BN.

Kali terakhir MCA memenangi DUN Kota Lama pada PRU 1995. Tetapi, sejak PRU 1999 sehingga 2023, PAS menguasai kerusi itu melalui calonnya, Anuar Tan Abdullah.

Hakikatnya, Ariff berkata sama ada BN atau PH, calon kedua-dua parti itu sukar untuk menembusi negeri didominasi PAS tanpa strategi baik.

“Jadi mereka perlu hasilkan formula khusus untuk menawan negeri itu berbanding terus berbalah sesama sendiri,” katanya.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula berpendapat wujud salah faham apabila MCA mendakwa Kota Lama sebagai kerusi tradisi. Menurutnya, MCA diberi laluan untuk bertanding di situ oleh Umno yang mengetuai BN.

“Mereka diberi peluang kerana itu satu-satunya kerusi majoriti 30% pengundi Cina di Kelantan. Sebenarnya kalau letak Umno pun boleh menang,” katanya.

“MCA tidak boleh kata PH perlu beri laluan kepada mereka. Pertembungan ini sebenarnya antara Umno dan PH,” katanya yang menjangkakan tidak banyak masalah berkisar pengagihan kerusi antara BN-PH di Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.