Pindaan Akta Kanak-Kanak dibentang tahun ini

Pindaan Akta Kanak-Kanak dibentang tahun ini

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata pindaan itu bagi mengetatkan lagi undang-undang berkaitan Akta Kanak-Kanak.

Nancy Shukri
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata dengan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 membolehkan Jabatan Kanak-Kanak itu bergerak secara sendiri mulai 2026. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Draf pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 hampir siap sepenuhnya dan dijangkakan dapat dibentangkan di sidang parlimen pada tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.

Nancy berkata selain menambah baik Akta Kanak-Kanak 2001, pindaan itu juga selaras dengan penubuhan Jabatan Kanak-Kanak, lapor Berita Harian.

“Berikutan penubuhan Jabatan Kanak-Kanak itu, kami mengambil peluang untuk mengetatkan lagi undang-undang kerana banyak perkara berlaku yang memberi pengajaran kepada kita untuk meminda undang-undang itu.

“Kita akan menambah beberapa elemen baharu selaras dengan hasrat untuk mengetatkan lagi akta berkenaan,” katanya di majlis ibadah korban Parlimen Santubong di Kuching, Sarawak.

Menurutnya, Jabatan Kanak-Kanak sudah beroperasi sejak tahun lalu tetapi ia masih berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Dengan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 akan membolehkan jabatan itu bergerak secara sendiri mulai 2026 kerana sekarang kita masih merekrut kakitangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.