Pelajar rugi lebih RM13,000 terpedaya kerja sambilan palsu

Pelajar rugi lebih RM13,000 terpedaya kerja sambilan palsu

Polis berkata mangsa menerima tawaran memperoleh wang sampingan lumayan selepas dimasukkan dalam satu kumpulan Whatsapp.

scammers
Ketua Polis Sibu Zulkipli Suhaili dalam kenyataan berkata pelajar diperdaya dengan tawaran lumayan dengan membuat tugasan kerja di YouTube.
SIBU:
Seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta kerugian RM13,750 selepas terpedaya tawaran kerja sambilan dalam talian.

Ketua Polis Sibu Zulkipli Suhaili dalam kenyataan berkata mangsa mengadu menerima tawaran memperoleh wang sampingan dengan membuat tugasan kerja di Youtube selepas dimasukkan ke dalam satu kumpulan Whatsapp.

Mangsa memberi maklumat peribadi dan akaun pembayaran digital miliknya untuk tujuan dokumentasi dan pengesahan sebelum suspek mengarahkan menekan satu pautan bagi membuat tugasan diberikan.

Zulkipli berkata mangsa turut dikehendaki menekan butang melanggan satu jenama terkenal dan dijanjikan mendapat keuntungan RM100.

Suspek juga memaklumkan kepada mangsa jika ingin mendapat keuntungan RM40,000 mangsa dikehendaki membuat tugasan seterusnya dengan memasukkan wang sebanyak RM20,000.

“Mangsa memasukkan wang bagi penugasan berkenaan semalam sebanyak lima kali transaksi berjumlah RM13,750 ke dalam empat akaun tempatan yang berlainan

“Bagaimanapun, sehingga laporan dibuat, mangsa tidak menerima keuntungan dan komisen dijanjikan,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Zulkipli menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

Katanya, orang ramai perlu membuat semakan terperinci dengan syarikat atau agensi berkaitan sebelum memohon atau menerima apa jua tawaran kerja yang meragukan.

Selain itu, orang ramai boleh merujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 dan mengikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM untuk sebarang nasihat.

Mereka juga boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.