
Katanya, kerajaan perlu menangani isu lebih mendalam yang mewujudkan peluang untuk rasuah berlaku kerana gaji rendah dan kemiskinan bukan faktor utama di sebalik rasuah dalam perkhidmatan awam.
“Jika sesetengah orang beranggapan (rasuah) disebabkan gaji rendah, nasihat saya kepada kerajaan ialah kekal berwaspada, jangan asyik naikkan gaji,” katanya dalam wawancara dengan New Straits Times.
“Anda mungkin fikir ia (kenaikan gaji) akan mengurangkan rasuah (tetapi) ia mengenai perkara lain. Ia mengenai ketamakan, peluang dan kelemahan sistemik dalam prosedur serta tadbir urus yang digunakan individu demi kepentingan diri.”
Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan gaji penjawat awam akan dinaikkan lebih 13% berkuat kuasa Disember ini.
Kemudian, Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali dilaporkan berkata, jumlah sabitan rasuah dalam kalangan penjawat awam merosot kepada 70 pada 2021 dan 21 pada 2022.
Tetapi, pada 2019, SPRM melaporkan 63.3% daripada aduan rasuah diterimanya berkaitan sektor awam.
Azam menyeru aktivis dan NGO antirasuah mempertimbangkan faktor serta laporan lain apabila mengkritik rasuah dalam negara.
Katanya, beliau tidak bersetuju dengan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International, walaupun kedudukan Malaysia naik daripada 61 pada 2022 kepada 57 tahun lalu.
“Jika anda tak suka seseorang, anda akan lihatnya secara negatif. Contohnya dalam Indeks Rahsia Kewangan (FSI), jiran kita Singapura antara 10 negara teratas terbabit pengubahan wang. Kita antara yang terendah.
“CPI juga perlu melihat markah ini kerana pengubahan wang dikaitkan dengan aktiviti rasuah.”
Diterbitkan Tax Justice Network, FSI ialah penarafan bidang kuasa mengikut tahap kerahsiaan kewangan mereka, yang memudahkan penyalahgunaan cukai, pengubahan wang dan menjejaskan hak asasi manusia.