
Setiausaha agungnya, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata kenaikan gaji dapat mengurangkan risiko rasuah dalam kalangan penjawat awam yang kini terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.
Katanya, kenaikan kos sara hidup dan desakan untuk kehidupan yang selesa menyebabkan ada segelintir penjawat awam mudah tergoda dengan godaan pemberi rasuah.
“Bila ada kenaikan gaji, risiko rasuah dapat dikurangkan. Ia (rasuah) tak boleh dihapuskan sebab kos sara hidup kini meningkat, ramai orang tak mampu.
“Perasuah-perasuah ini bertindak menggoda, itu yang mudah terpengaruh kerana mereka (penjawat awam) nak hidup yang selesa,” katanya kepada FMT.
Azam dalam wawancara dengan New Straits Times semalam berkata gaji rendah dan kemiskinan bukan faktor utama di sebalik rasuah dalam perkhidmatan awam.
“Jika sesetengah orang beranggapan (rasuah) disebabkan gaji rendah, nasihat saya kepada kerajaan ialah kekal berwaspada, jangan asyik naikkan gaji,” katanya.
Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan gaji penjawat awam akan dinaikkan lebih 13% berkuat kuasa Disember ini.
Rahman berkata, tindakan Azam mengeluarkan kenyataan seperti itu ketika kerajaan memutuskan untuk menaikkan gaji penjawat awam boleh memberi imej buruk kepada kakitangan kerajaan.
Rahman berkata, hanya segelintir penjawat awam disabitkan dengan rasuah kerana ada diantara aduan yang diterima hanyalah berunsurkan fitnah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia, Jais Abdul Karim pula bersetuju dengan kenyataan Azam tetapi berpendapat kerajaan perlu menaikkan gaji penjawat awam supaya mereka tidak boleh menggunakan alasan gaji rendah (untuk menerima rasuah) kerana keperluan asas telah dipenuhi kerajaan.
Katanya, bagi membendung masalah itu, kerajaan disaran segera melaksanakan tindakan punitif dalam kalangan penguatkuasa di negara ini.
“Ketika ini kaedah punitif jarang dikenakan, mereka hanya dikenakan amaran, tukar tempat kerja dan mungkin sedikit hukuman, ia tidak cukup untuk menakutkan mereka daripada melakukan rasuah berkali-kali selepas itu.
“Kaedah punitif yang lebih tegas seperti gantung atau dibuang kerja akan membawa kesan besar kepada mereka,” katanya.