Gesaan TMJ layan Johor sebagai rakan kongsi berasas, kata Hassan

Gesaan TMJ layan Johor sebagai rakan kongsi berasas, kata Hassan

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata cadangan Pemangku Sultan Johor itu ada asasnya dari segi 'perundangan Perlembagaan, politik dan juga sejarah'.

Hassan Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang PKR Hassan Karim berkata Johor tidak dianggap sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PKR berkata gesaan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar negeri itu dilayan sebagai rakan kongsi seperti Sabah dan Sarawak adalah satu pandangan yang ada asasnya dari segi ‘perundangan Perlembagaan, politik dan juga sejarah’.

Hassan Karim mendakwa sejarah dan rekod sejarah menyatakan secara bertulis bahawa Johor pada asalnya adalah sebuah negeri yang merdeka.

Katanya, Johor tidak seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang pernah menjadi tanah jajahan Inggeris secara langsung dan dipanggil Negeri-negeri Selat.

“Jadi ada asasnya terhadap tuntutan TMJ Pemangku Sultan Johor sekarang,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Tunku Ismail menggesa reformasi sistem persekutuan, dengan Johor dilayan sebagai rakan kongsi serta mencadangkan parti politik di negeri itu bersatu dalam gabungan dikenali ‘Gabungan Bangsa Johor’ bagi menjamin kepentingan negeri.

Tunku Ismail berharap pada masa hadapan ‘sekurang-kurangnya 20-30% daripada hasil negeri akan kembali ke Johor’.

Hassan berkata pendirian dan tuntutan Tunku Ismail itu mungkin dilihat tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan oleh sesetengah pihak namun ia perlu dilihat dengan lebih luas.

“Apa yang disuarakan itu perlu dilihat melalui kanta yang lebih luas dan tidak terkongkong dengan tafsiran perundangan Perlembagaan yang asalnya digubal oleh Suruhanjaya Reid bagi pihak kerajaan Kolonial Inggeris sebelum Persekutuan Tanah Melayu terbentuk,” katanya.

Beliau berkata Johor bukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, terdiri daripada Pahang, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan, yang ditubuhkan pada 1895 oleh kerajaan British.

Katanya, Johor pada akhirnya bersetuju secara sukarela menggolongkan dirinya sebagai Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu bersama-sama Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Jadi jika TMJ menuntut ia dilayan oleh Persekutuan Malaysia sebagai rakan Persekutuan seperti Sabah dan Sarawak, maka tuntutan itu bukannya sesuatu yang tak masuk akal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.