Aidiladha disambut meriah di seluruh negara

Aidiladha disambut meriah di seluruh negara

Pemimpin serta ketua negeri turut bersama bertakbir memuji kebesaran Allah dan menunaikan solat sunat Aidiladha.

Lebih 100 penduduk Kampung Banggol Chempedak menunaikan solat sunat Aidiladha di tepi sungai Dataran Banggol Chempedak dekat Kuala Terengganu kerana surau kampung itu dalam pembinaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sambutan Hari Raya Aidiladha di seluruh negara meriah dengan kebanyakan masjid dipenuhi jemaah, termasuk pemimpin serta ketua negeri untuk bersama bertakbir memuji kebesaran Allah dan menunaikan solat sunat Aidiladha.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama lebih 20,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya dan mendengar bacaan khutbah Aidiladha bertajuk “Aidiladha dan Kepedulian Sosial Kita” yang disampaikan Imam Besar masjid itu, Salahuddin Ghozali.

Di ibu negara, umat Islam terdiri daripada warga tempatan dan warga asing menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara yang diimamkan Imam Besarnya, Ehsan Mohd Husni.

Di Selangor, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyertai lebih 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Di Johor, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Pasir Pelangi, Johor Bahru bersama adindanya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi bersama barisan exco dan pegawai kanan kerajaan.

Di Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri, Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Khadijah Mohd Noor turut meluangkan masa menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 2,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang dan pelaksanaan ibadah korban di masjid itu.

Sebanyak 251 ekor lembu diagihkan Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kepada 252 masjid dan 25 surau di bawah Program Korban Perdana Yayasan 2024 yang memanfaatkan kira-kira 13,500 golongan B40.

Di Terengganu, penduduk Kampung Banggol Chempedak di Serada dekat Kuala Terengganu membuat kelainan dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di tepi sungai Dataran Banggol Chempedak, selain membawa juadah untuk dinikmati selepas solat.

Lebih 100 jemaah terdiri daripada penduduk kampung dan kawasan sekitar menunaikan solat sunat di kawasan itu berikutan surau kampung terbabit kini dalam pembinaan.

Di Negeri Sembilan, Masjid Sri Sendayan di Seremban menjadi tumpuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha yang dihadiri lebih 5,000 jemaah, termasuk warga asing dengan dipimpin imam Muhammad Anas Fikri Mohd Nasir, di samping mendengar khutbah bertajuk “Kepatuhan Kepada Ilahi, Membentuk Kehambaan Hakiki”.

Menteri Besar, Aminuddin Harun mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua rakyat Negeri Sembilan dan berharap masyarakat terus mengingati perjuangan serta pengorbanan Nabi Ibrahim dan menjadikan ia teladan hidup.

Di Melaka, Yang di-Pertua Negeri, Ali Rustam dan isteri, Asmah Abd Rahman menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim, Bukit Palah.

Di Kedah pula, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 jemaah lain di Masjid Zahir, Alor Setar, yang turut disertai Menteri Besar, Sanusi Md Nor bersama barisan exco.

Di Perlis, lebih 1,000 orang menunaikan solat sunat Aidiladha di Balai Islam Madi, Jejawi Dalam di Arau yang turut disertai Menteri Besar, Shukri Ramli.

Di Kelantan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Masjid Al-Ismaili, Tumpat untuk menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan jemaah.

Di Pahang, Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan bersama lebih 1,000 jemaah.

Di Perak, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 800 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh dan seterusnya mendengar khutbah bertajuk “Aidiladha: Pengorbanan Memupuk Sifat Ihsan”.

Di Sarawak, Yang Dipertua Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Fauziah Mohd Sanusi serta Premier, Abang Johari Openg dan isteri, Juma’ani Bujang menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek, Kuching.

Di Sabah, Ketua Menteri, Hajiji Noor menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 500 jemaah di Masjid Haji Noor, Serusup dan seterusnya menghadiri majlis ibadah korban di IPD Tuaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.