
Bercakap kepada FMT, Pengerusi PAGE Noor Azimah Rahim mempersoal sama ada Putrajaya mengakui pemansuhan sekolah aliran Inggeris, pada 1970an merupakan kesilapan.
“Malaysia sepatutnya rasa malu apabila Singapura menawarkan sukarelawan menjadi guru bahasa Inggeris. Ada ketikanya, penguasaan bahasa Inggeris kita sebaik Singapura, dan dalam beberapa kes ia masih baik.
“Dalam menerima sukarelawan mengajar bahasa Inggeris ataupun sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, adakah kita akhirnya mengakui kita tersilap mansuh sekolah aliran Inggeris?” katanya.

Azimah berkata demikian mengulas cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membawa masuk sukarelawan dari Singapura mengajar bahasa Inggeris di kawasan miskin bandar dan pedalaman di negara ini.
Bermula 1970, sekolah rendah dan menengah aliran Inggeris secara berperingkat dimansuh, dengan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar.
Dalam sidang media bersama pada Rabu, Anwar berkata beliau berbincang dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong kemungkinan membawa masuk guru dari negara jiran itu mengajar bahasa Inggeris dan subjek lain di Malaysia.
Anwar kemudian menjelaskan inisiatif berkenaan hanya melibatkan sukarelawan, yang akan ditugaskan mengajar bahasa Inggeris di kawasan miskin bandar dan pedalaman Malaysia Timur. Katanya, Singapura akan membiayai kos program terbabit.
Azimah tidak membidas sepenuhnya cadangan Anwar, namun katanya penyelesaian segera diperlukan bagi mengembalikan pelaksanaan asal program dwibahasa (DLP).
Ia termasuk membenarkan ibu bapa memutuskan sama ada mereka mahu anak mereka diajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, katanya.
Dalam pada itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata pihaknya menyokong cadangan Anwar tersebut, merujuk keadaan semasa memandangkan ada guru terpaksa mengajar bahasa Inggeris walaupun bukan kepakaran mereka dalam subjek itu.

“Sebagai guru, mereka kena belajar dan cuba memenuhi keperluan pelajar di sekolah,” kata Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon.
Katanya, apa dicadangkan Anwar kelihatan bersifat kokurikulum, memandangkan hanya guru berkelayakan dibenar mengakar di sekolah mengikut undang-undang.
Fouzi menyeru Kementerian Pendidikan berkongsi data sebenar berkait kekurangan guru untuk secara wajar menanganinya dengan pemegang taruh.
“Jika data ini dikongsi, latihan dan kajian diperlukan boleh dirancang Institut Pendidikan Guru dan universiti. Lebih praktikal mengadakan latihan guru dan perkongsian ilmu antara guru kedua-dua negara,” katanya.