Suspek dalang sindiket keluarkan RM24.2 juta dari akaun simpanan ditahan

Suspek dalang sindiket keluarkan RM24.2 juta dari akaun simpanan ditahan

Suspek berusia 40-an itu ditahan di Sabah kelmarin selepas seorang kakitangan sebuah bank ditahan sehari sebelumnya.

DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata setakat ini hanya dua individu ditahan berhubung kes berkenaan namun pihaknya masih memburu saki-baki sindiket. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis berjaya menahan lelaki dipercayai dalang sindiket yang mengeluarkan wang tunai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan.

Suspek berusia 40-an itu ditahan di Sabah kelmarin selepas seorang kakitangan sebuah bank ditahan sehari sebelumnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata setakat ini hanya dua individu ditahan berhubung kes berkenaan.

“Kita percaya lebih ramai lagi individu yang terbabit dalam pakatan jenayah ini sehingga berlakunya transaksi pengeluaran wang dari akaun simpanan.

“Pada masa ini, pasukan JSJK sedang berusaha menjalankan siasatan untuk menjejak saki-baki sindiket ini dan seterusnya memberkas mereka,” katanya, menurut Berita Harian.

Beliau berkata, siasatan awal mendedahkan terdapat pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang berkaitan kerana ia hanya boleh dilakukan dengan ‘bantuan’ dalaman bank.

Menurutnya, awal bulan ini, polis menerima empat laporan berkaitan kehilangan wang dari akaun simpanan tetap di Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, pengadu terdiri daripada pemilik akaun memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

“Semua pemilik akaun yang terbabit menafikannya kerana tidak pernah ke Kota Kinabalu bagi membuat pengeluaran seperti didakwa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan,” katanya.

Polis pada Khamis lalu menahan seorang kakitangan bank berusia 38 tahun di Kota Kinabalu, Sabah, selepas wang terbabit dikeluarkan daripada beberapa akaun simpanan tetap berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.