Jabatan Air Sabah potong 24 paip haram dekat UMS

Jabatan Air Sabah potong 24 paip haram dekat UMS

Timbalan Ketua Menteri Shahelmey Yahya berkata sambungan paip haram itu antara punca bekalan air ke Universiti Malaysia Sabah terjejas.

Penguat kuasa Jabatan Air Sabah mengesan sambungan paip haram oleh penghuni setinggan secara terus dari paip utamanya di Sepanggar. (Gambar JANS)
KOTA KINABALU:
Jabatan Air Sabah (JANS) memotong 24 sambungan paip air haram yang menjadi antara punca bekalan air ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) terjejas.

Timbalan Ketua Menteri, Shahelmey Yahya, berkata ia disambung oleh penghuni setinggan secara terus dari paip utamanya berhampiran Kampung Suang Parai, Sepanggar.

Katanya, ia telah menjejaskan bekalan air ke takungan utama di universiti berkenaan, lapor Bernama.

“JANS telah menghantar penguat kuasanya untuk membanteras kegiatan itu petang ini dan akan sentiasa memantau keadaan hingga skim vendor (pembekalan air kepada penghuni setinggan) dilaksanakan sepenuhnya di beberapa kawasan yang dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Shahelmey berkata Kementerian Kerja Raya Sabah sedang dalam proses menstabilkan tekanan air bagi memastikan bekalan air stabil di semua kawasan di negeri ini.

Pada Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Abdul Rahman Dahlan berkata kewujudan kira-kira 12,000 setinggan dipercayai menjadi penyumbang kepada masalah bekalan air di universiti itu.

Kelmarin, kira-kira 80 pelajar UMS berarak kira-kira 3km dari universiti itu ke Menara Kinabalu untuk menyampaikan memorandum berhubung masalah air di universiti itu.

Mereka enggan berganjak tanpa menyerahkan dokumen itu kepada Ketua Menteri Hajiji Noor dan berkampung kira-kira 17 jam di luar Menara Kinabalu sebelum bersurai pagi semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.