
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memastikan semua golongan sasar yang layak akan menerima bantuan itu.
“Kalau dia perlu dan memang untuk bas sekolah, kita bagi. Ya, boleh. Ada masa untuk merayu dan (kita akan) berikan tetapi kalau sengaja diambil peluang, kalau syarikat-syarikat besar, syarikat pelancongan yang untung besar, tak munasabah dapat subsidi.
“Subsidi ini (diberikan) kepada orang susah,” katanya ketika berucap merasmikan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof; Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad; serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Anwar sekali lagi memberi amaran kepada pengusaha bas sekolah yang menerima subsidi tetapi menaikkan harga tambang bahawa lesen mereka akan ditarik.
Beliau berkata kerajaan turut mengambil maklum kebimbangan rakyat mengenai kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel.
“Ada yang tanya, harga barang naikkah? Saya kata kita pantau. Ada orang anak naik bas sekolah, dia kata nak naik ke harga? Saya kata kita pantau,” katanya.