Pelajar UMS ‘tak matang’ enggan serah memorandum, kata timbalan KM Sabah

Pelajar UMS ‘tak matang’ enggan serah memorandum, kata timbalan KM Sabah

Sekumpulan kira-kira 80 penunjuk perasaan itu bertegas hendak menyerahkan dokumen itu terus kepada Ketua Menteri Hajiji Noor.

Kira-kira 80 pelajar UMS berarak kira-kira 3km ke Menara Kinabalu untuk menyampaikan memorandum kepada Ketua Menteri Hajiji Noor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya menyifatkan pelajar yang mengambil bahagian dalam protes berhubung masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai ‘tidak matang’ selepas enggan menyerahkan memorandum kepadanya.

Sekumpulan kira-kira 80 penunjuk perasaan itu bertegas hendak menyerahkan dokumen itu kepada Ketua Menteri Hajiji Noor, dan enggan berganjak sehingga mereka dapat berbuat demikian.

Shahelmey menegaskan, kerajaan Sabah terbuka menerima cadangan dan memorandum. Katanya, beliau diwakilkan untuk menerima memorandum pelajar-pelajar itu.

“Penunjuk perasaan enggan menyerahkannya kepada saya kerana mereka hanya mahu menyerahkannya kepada ketua menteri. (Hajiji) tiada di Menara Kinabalu, tetapi beliau memaklumkan kepada saya, beliau sedia menerima memorandum tersebut dengan janji temu boleh ditetapkan minggu depan.

“Awal tengah hari ini, saya difahamkan (para pelajar) enggan membuat janji temu dengan ketua menteri, sebaliknya berkata, memorandum itu boleh didapati di media sosial.

“Ini tidak matang. Dalam mana-mana urusan rasmi kerajaan, mereka harus tahu etika dan peraturan, terutamanya jika berurusan dengan ketua menteri,” kata Shahelmey, menteri negeri yang bertanggungjawab dalam isu air, lapor The Borneo Post.

Semalam, kumpulan penunjuk perasaan itu berarak kira-kira 3km dari UMS ke Menara Kinabalu untuk menyampaikan memorandum berhubung masalah air di universiti itu.

Mereka enggan berganjak tanpa menyerahkan dokumen itu kepada Hajiji dan berkampung kira-kira 17 jam di luar Menara Kinabalu sebelum bersurai pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Joniston Bangkuai mendakwa, para penunjuk perasaan itu tidak ikhlas dan mempunyai motif terselindung apabila mendesak menyampaikan memorandum itu terus kepada Hajiji.

Beliau menegaskan, sayap Pemuda Warisan dengan terbuka menyokong protes itu, namun tindakan kumpulan itu menimbulkan persoalan tentang niat sebenar mereka.

“Segelintir penunjuk perasaan menujukan kata-kata kurang baik kepada ketua menteri, mencadangkan (wujudnya) agenda politik, bukannya kebimbangan tulus mengenai isu air,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.