
Ketua Polis Serdang, AA Anbalagan berkata, lelaki 42 tahun itu melintas landasan dipercayai untuk ke rumah kawannya pada 6.30 petang Jumaat.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa menceroboh kawasan berpagar dan memasuki landasan KLIA Express untuk ke Jalan Serdang Perdana 5, Seri Kembangan.
“Semasa melintas landasan, mangsa dilanggar tren ERL dan disahkan meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro.
Anbalagan berkata, mayat mangsa ditemui dalam longkang sedalam 5m dekat lokasi kejadian.
Beliau berkata, tujuan mangsa melintas landasan masih disiasat, tetapi dipercayai untuk melawat kawannya berdasarkan rakaman percakapan beberapa rakannya.
“Setakat ini, tiada unsur jenayah ditemui dalam kejadian ini dan mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya sambil menambah mangsa datang ke Malaysia pada 2020 dan bekerja sebagai kontraktor di Johor.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada penyelia pengawal keselamatan KLIA Express pada 8.45 malam.