Kakitangan bank ditahan selepas RM24.2 juta dikeluarkan daripada akaun

Kakitangan bank ditahan selepas RM24.2 juta dikeluarkan daripada akaun

Polis bertindak selepas pemegang akaun dan kakitangan bank melaporkan pengeluaran tunai mencurigakan di Kota Kinabalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Yoosuf berkata, pihaknya menerima 4 laporan di Petaling Jaya pada awal Jun mengenai pengeluaran sejumlah RM24.2 juta daripada akaun simpanan tetap sebuah bank. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang kakitangan bank berusia 38 tahun di Kota Kinabalu, Sabah, selepas sejumlah RM24.2 juta dikeluarkan daripada beberapa akaun simpanan tetap sebuah bank.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Yoosuf berkata, pihaknya menerima empat laporan di Petaling Jaya, Selangor, pada awal Jun mengenai jumlah wang yang dikeluarkan itu.

Katanya, pengadu yang terdiri daripada pemegang akaun dan kakitangan bank melaporkan beberapa pengeluaran tunai yang mencurigakan dibuat di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap di bank itu.

“Kesemua pemilik akaun terlibat menafikan pengetahuan tentang perkara tersebut dan tidak pernah ke Kota Kinabalu bagi membuat pengeluaran sebagaimana didakwa.

“Pada 13 Jun, suspek berusia 38 tahun yang juga kakitangan bank berkaitan ditahan di Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan.

“Siasatan setakat ini mendedahkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang berkaitan memandangkan urusan tersebut hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman.”

Ramli berkata, polis merampas tiga telefon bimbit berserta kad SIM, lapan kad ATM pelbagai bank, wang tunai RM4,400 dan sebuah komputer riba.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

“Pasukan penyiasatan juga sedang dalam usaha mengesan dan menangkap beberapa individu lain yang telah dikenal pasti,” kata Ramli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.